BISNES
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Mohd Afzanizam berkata ringgit berbanding dolar AS akan berada dalam lingkungan RM4.23 kepada RM4.24 apabila peniaga menggunakan pendekatan tunggu dan lihat semasa mesyuarat FOMC berlangsung. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu susulan peniaga mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadual berlangsung malam ini, kata seorang penganalisis.
Ringkasan AI
- Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar AS berikutan pendekatan tunggu dan lihat oleh peniaga menjelang mesyuarat FOMC yang dijangka tidak mengubah kadar faedah, tetapi mungkin memberi petunjuk penurunan pada September.
- Data ekonomi AS bercampur-campur, dengan penurunan pembukaan pekerjaan tetapi peningkatan keyakinan pengguna; ini menyokong Dolar AS dan menyebabkan Fed dijangka tidak tergesa-gesa menurunkan kadar faedah.
- IMF menaikkan unjuran KDNK global dan Malaysia, masing-masing kepada 3.0% dan 4.5%, memberi keyakinan bahawa kesan tarif AS dapat dikawal; ringgit dijangka kekal dalam julat RM4.23RM4.24 berbanding dolar AS.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat kepada 98.886 mata kerana pasaran membuat persediaan bagi menghadapi keputusan FOMC.
Beliau berkata data AS terus memberi gambaran yang bercampur-campur dengan Tinjauan Tawaran Pekerjaan dan Pemberhentian Kerja (JOLTS) melaporkan bahawa bilangan pembukaan pekerjaan pada Jun turun kepada 7.44 juta daripada 7.51 juta pada bulan sebelumnya, lebih rendah daripada anggaran konsensus sebanyak 7.71 juta.
Sementara itu, Indeks Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan AS melonjak kepada 97.2 mata pada Julai daripada 95.2 mata sebelumnya, kebimbangan terhadap harga lebih tinggi disebabkan import, bagaimanapun kekal paling utama dalam kalangan pengguna AS, katanya.
"Apa yang dimaksudkan kepada pasaran pertukaran asing adalah mungkin terdapat sokongan untuk DXY kerana Fed AS tidak mungkin mengurangkan kadar faedah serta-merta," katanya.
Selain itu, Mohd Afzanizam berkata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyemak unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global 2025 kepada 3.0 peratus daripada 2.8 peratus.
Begitu juga, bagi Malaysia, unjuran pertumbuhan ekonomi telah dinaikkan kepada 4.5 peratus daripada 4.1 peratus.
"Ini menunjukkan bahawa kesan daripada kejutan tarif AS akan dapat diurus secara adil. Justeru, ringgit berbanding dolar AS akan berada dalam lingkungan RM4.23 kepada RM4.24 apabila peniaga menggunakan pendekatan tunggu dan lihat semasa mesyuarat FOMC berlangsung," katanya.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8498/8570 daripada 2.8479/8511 ketika ditutup pada Selasa.
Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.6483/6617 daripada 5.6518/6578 semalam dan menokok berbanding euro kepada 4.8861/8976 daripada 4.8990/9042 sebelumnya.
Dalam pada itu, ringgit bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.
Ia hampir tidak berubah berbanding rupiah Indoneisa pada 257.7/258.5 daripada 257.8/258.2 semalam, menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.2842/2922 daripada 3.2875/2913, meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.37/7.40 daripada 7.38/7.39, tetapi merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0556/0969 daripada 13.0537/0740 sebelum itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami