KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat daripada penutupan semalam untuk dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini berikutan kembalinya sokongan belian susulan perkembangan positif mengenai pelaksanaan vaksin COVID-19, kata peniaga.

Pada 9.06 pagi, unit tempatan itu meningkat pada 4.1400/1440 berbanding dolar US daripada 4.1440/1480 sewaktu ditutup pada Isnin.

Peniaga berkata pasaran tempatan memberikan reaksi positif berikutan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) berkata Malaysia mempunyai vaksin yang lebih daripada mencukupi untuk rakyatnya.

Dalam kenyataan pada Isnin, CITF berkata Malaysia membelanjakan RM3.5 bilion untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi 120 peratus penduduknya atau 38.5 juta orang

CITF berkata memandangkan kebanyakan vaksin yang diperoleh adalah vaksin dua dos, jumlah dos yang ditawarkan Malaysia adalah sebanyak 73.5 juta dos dan bukan 32 juta dos seperti yang didakwa dalam satu hantaran Facebook.

Sementara itu, unit tempatan bagaimanapun diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1186/1219 daripada 3.1165/1207 pada penutupan Isnin dan lemah berbanding euro kepada to 5.0607/0660 daripada 5.0602/0660.

Mata wang tempatan itu merosot berbanding pound Britain kepada 5.8647/8720 daripada 5.8575/8640 dan turun berbanding yen kepada 3.8065/8113 daripada 3.8057/8097.

-- BERNAMA