Skip to main content

Malaysia

Malaysia mulakan persiapan Sukan Nomad Dunia 2026

SUKAN NOMAD DUNIA_TB
Malaysia dijadual menyertai empat disiplin iaitu marathon kuda, strongman, memanah tradisional dan memanah berkuda dalam Sukan Nomad Dunia 2026.

KUALA LUMPUR: Malaysia mula memperkemaskan persiapan ke temasya ke-6 Sukan Nomad Dunia 2026 menerusi penganjuran Majlis Ramah Mesra & Persefahaman “Road to 6th World Nomad Games 2026” yang berlangsung di ibu pejabat HQ Ikhlas Com Travel, Isnin.

Majlis itu menghimpunkan koordinator, wakil badan sukan, jurulatih, atlet serta rakan strategik sebagai langkah awal menyelaras pembentukan kontinjen negara ke temasya antarabangsa berprestij tersebut yang bakal berlangsung di Bishkek dan Issyk-Kul, Kyrgyzstan pada 31 Ogos hingga 6 September 2026.

Antara agenda utama yang dibincangkan termasuk penyelarasan struktur kontinjen Malaysia, pengurusan atlet dan pegawai, persediaan latihan, pembangunan sukan nomad, kerjasama penajaan serta logistik antarabangsa.

Selain itu, usaha memperkenalkan budaya dan identiti Malaysia di pentas antarabangsa turut menjadi antara fokus utama menjelang temasya berkenaan.

Menurut sekretariat penganjur, inisiatif “Road to 6th World Nomad Games 2026” bukan sekadar melibatkan penyertaan sukan, malah menjadi platform diplomasi budaya dalam memperkenalkan warisan dan semangat Malaysia kepada masyarakat dunia.

Sebanyak 43 acara sukan akan dipertandingkan pada edisi kali ini dengan penyertaan dijangka melibatkan lebih 100 negara serta lebih 3,000 atlet dari seluruh dunia.

Malaysia dijadual menghantar pasukan dalam empat disiplin iaitu marathon kuda, strongman, memanah tradisional dan memanah berkuda.

Penganjur berharap usaha awal yang digerakkan menerusi majlis persefahaman ini mampu membentuk kontinjen Malaysia yang lebih tersusun, kompetitif dan berwibawa dalam membawa nama negara di peringkat antarabangsa.

Sukan Nomad Dunia merupakan festival sukan dan budaya antarabangsa yang diasaskan oleh Kyrgyzstan bagi meraikan warisan masyarakat nomad menerusi pertandingan sukan tradisional, persembahan budaya, muzik dan pertukaran budaya antara negara.

Acara dwitahunan itu turut dilihat sebagai platform memperkukuh diplomasi budaya serta mempromosikan keamanan dan persahabatan antarabangsa melalui warisan ketamadunan nomad.

Must Watch Video