KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga Jumaat dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan pengumuman data ekonomi terkini negara maju itu yang meningkatkan lagi jangkaan bahawa bank pusat itu sudah selesai menaikkan kadar faedah.

Berikutan itu, kalangan peniaga kini membuat spekulasi mengenai tempoh bagi Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk menurunkan kadar faedah berkenaan.

Bagaimanapun, peningkatan ringgit dikekang oleh penyusutan harga minyak.

Pada 6 petang ini, ringgit naik ke paras 4.6785/6825 berbanding dolar AS daripada 4.6850/6910, semalam.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues berkata sentimen dolar AS merosot apabila data tuntutan awal pengangguran AS mencatat angka lebih tinggi iaitu 231,000 daripada jangkaan sebanyak 220,000.

"Angka itu menunjukkan ramai yang telah kehilangan kerja dan dijangka memberi impak negatif terhadap dolar AS. Daripada sudut teknikal, memandangkan gandingan dolar AS-ringgit mencecah paras di bawah 4.7000, ada kemungkinan ia mampu turun ke paras 4.6350 dalam beberapa hari ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kedudukan Malaysia sebagai pengeksport komoditi akan menyebabkan harga tenaga menjadi kekangan terbesar bagi ringgit.

"Kami mengandaikan kemungkinan kitaran akhir ekonomi AS kini semakin ketara. Malah, data AS itu semakin mudah lemah dan turut menjadi kebimbangan pengeksport komoditi, terutama membabitkan pertumbuhan di China dan Eropah.

"Namun, dolar AS telah pun memasuki fasa konsolidasi ketika pasaran membuat spekulasi tempoh untuk Fed menurunkan kadar faedah itu. Malah, inilah persoalan utama yang berlegar di pasaran tukaran asing ketika ini," katanya kepada Bernama.

Pada akhir urus niaga Jumaat, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 5.0771/0814 daripada 5.0832/0897 semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8056/8105 daripada 5.8103/8178 namun susut berbanding yen Jepun pada 3.1267/1296 daripada 3.0963/1005.

Ringgit bagaimanapun ditutup rendah berbanding mata wang Asean apabila susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4769/4801 daripada 3.4737/4784 dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 301.9/302.3 daripada 301.1/301.7 sebelum ini.

Unit tempatan itu juga rendah berbanding baht Thailand kepada 13.3298/3481 daripada 13.2065/2286 semalam dan susut berbanding peso Filipina pada 8.40/8.41.

-- BERNAMA