Skip to main content

Bisnes

Ringgit ditutup mengukuh selepas BNM kekalkan OPR, unjur pertumbuhan mampan

81739793470_tbRINGGITMALAYSIA.jpg
Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada paras 4.0405/0445 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0435/0475, semalam. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga Khamis dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong oleh tindakan Bank Negara Malasia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Bank pusat itu turut menilai pendirian dasar monetari adalah konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada paras 4.0405/0445 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0435/0475, semalam.

Pada mesyuarat hari ini, BNM memutuskan untuk mengekalkan paras semasa OPR pada 2.75 peratus dengan penunjuk terkini memaparkan pertumbuhan ekonomi global kekal berdaya tahan, disokong oleh pengembangan teknologi global yang kukuh, keadaan bekalan yang bertambah baik dan pasaran pekerja yang stabil.

Menurut BNM, momentum pertumbuhan yang utuh dijangka menyebabkan pertumbuhan bagi 2026 pada paras sekitar lima peratus dan asas-asas ekonomi yang mantap dijangka mengekalkan daya tahan pertumbuhan pada 2027.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit kekal dalam julat kecil berbanding dolar AS ketika pasaran menunggu maklumat data gaji bukan perladangan AS (NFP) yang dijadual diumumkan malam esok.

“Setakat ini, Laporan Penggajian ADP tidak menepati jangkaan dengan penggajian sektor swasta hanya meningkat 38,000 pada Ogos. Ini jelas membayangkan NFP berpotensi mengecewakan jangkaan pasaran.

“Pada masa ini, pasaran lebih dipengaruhi oleh kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) pada minggu lepas. Justeru, data akan datang ini akan menentukan sentimen pasaran,” katanya kepada Bernama.

Berbanding kumpulan mata wang utama lain, ringgit diniagakan rendah berbanding euro pada paras 4.6894/6940 daripada 4.6787/6834 semalam selain susut berbanding pound Britain kepada 5.4539/4593 daripada 5.4527/4581.

Ringgit juga menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.5838/5865 daripada 2.5294/5321, semalam.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang serantau.

Unit tempatan juga mendatar berbanding peso Filipina pada 6.46/6.47 sejak semalam dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1850/1884 daripada 3.1739/1773.

Selain itu, ringgit rendah berbanding baht Thailand kepada 12.2421/2598 daripada 12.1321/1488 dan diniagakan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 228.5/228.8 daripada 227.6/227.9, semalam.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement