KUALA LUMPUR: Ringgit kembali mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir sesi urus niaga Khamis dan menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat esok, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat ke paras 4.7800/7850 berbanding dolar AS daripada 4.7845/7885 yang dicatatkan semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit diniagakan meningkat sedikit selepas hasil Perbendaharaan AS susut selepas data inflasi terbaharu negara maju itu terbukti mengatasi jangkaan awal.

"Bagaimanapun, paras hasil Perbendaharaan 10 tahun AS yang tinggi hanya mengekalkan sokongan terhadap mata wang AS dan sebaliknya mengekang peningkatan ringgit," katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit meningkat sedikit berbanding dolar AS hari ini dengan meraih kira-kira 10 peratus.

Malah, katanya, kesan dasar monetari yang ketat juga semakin ketara dan menjangkakan pasaran pertukaran asing akan lebih terkawal dalam masa terdekat.

"Data-data yang diumumkan hari ini menunjukkan bahawa ekonomi Jepun dan United Kingdom (UK) sudah mengalami kemelesetan teknikal. Angka terkini itu juga menggambarkan bank pusat iaitu Bank of Japan berkemungkinan mengekalkan pendirian berhati-hati mengenai langkah menamatkan akomodasi menotari yang ketara.

"Menerusi tindakan sama, pendirian dasar monetari yang ketat oleh pihak Bank of England telah memberi kesan negatif terhadap ekonomi UK.

"Kerajaan negara itu dijadual mengumumkan belanjawannya pada 6 Mac ini dan mungkin menyenaraikan langkah pengurangan cukai bagi merangsang ekonominya," kata Mohd Afzanizam.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama termasuk susut berbanding yen Jepun kepada 3.1860/1896 daripada 3.1757/1786.

Unit tempatan itu juga rendah berbanding pound Britain kepada 6.0008/0071 daripada 5.9983/6.0033, dan susut berbanding euro kepada 5.1304/1357 daripada 5.1185/1227, sebelum ini.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean lain.

Ini termasuk mengukuh berbanding baht Thailand pada 13.2084/2292 daripada 13.2366/2535 pada akhir urus niaga dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 305.7/306.0 daripada 306.5/307.0.

Ringgit bagaimanapun rendah berbanding peso Filipina pada 8.53/8.54 daripada 8.52/8.54 dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.5481/5521 daripada 3.5441/5473.

-- BERNAMA