KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penyusutannya apabila ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan unit negara maju itu terus mengukuh di tengah-tengah kebimbangan geopolitk di Timur Tengah, kata ahli ekonomi.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.7340/7380 berbanding dolar AS daripada 4.7260/7305 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ketegangan yang berlarutan di Timur Tengah terus menjejaskan sentimen pasaran, yang memberikan sokongan kepada dolar AS.

Selain itu, beliau berkata harga minyak mentah turun naik, namun kekal melebihi US$90 setong berikutan keadaan di Gaza yang dijangka lebih membimbangkan.

"Ini telah menyebabkan kerisauan kepada harga minyak mentah dalam masa terdekat ini dan bagaimana bank pusat utama akan memberikan reaksi terhadap potensi tekanan inflasi sedemikian," katanya kepada Bernama.

Setakat ini, harga penanda aras minyak mentah Brent turun 0.09 peratus kepada US$90.81 setong.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7494/7543 daripada 5.7615/7670 sewaktu ditutup pada Jumaat, namun merosot berbanding euro kepada 4.9858/9901 daripada 4.9760/9807 dan berkurangan berbanding yen kepada 3.1668/1697 daripada 3.1582/1615 pada Jumaat lepas.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya lemah berbanding mata wang Asean lain.

Mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4560/4592 daripada 3.4522/4559 sewaktu ditutup pada Jumaat dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.0392/0549 daripada 12.9810/9995 sebelum ini.

Unit tempatan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.33/8.34 berbanding 8.32/8.33 pada Jumaat lepas, namun menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 301.0/301.5 daripada 301.3/301.7 sebelum ini.

-- BERNAMA