KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS pada Rabu berikutan minat belian baharu apabila kebimbangan mengenai varian Omicron agak mereda, kata seorang peniaga.

Penilaian terkini mendapati bahawa Omicron mungkin tidak seteruk seperti varian lain, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.2240/2260 berbanding dolar AS daripada 4.2320/2330 pada Selasa.

Mohd Afzanizam memberi tahu Bernama bahawa pengurangan Nisbah Keperluan Rizab (RRR) oleh People's Bank of China pada Isnin menunjukkan bahawa risiko ekonomi China yang perlahan dapat dielakkan berikutan pihak berkuasa kewangan bersedia untuk menyediakan mudah tunai tambahan ke dalam sistem.

Ini sekali gus, menyebabkan Indeks Dolar AS (DXY) jatuh 0.18 peratus kepada 96.193 hari ini manakala ringgit meningkat kepada RM4.2253 daripada RM4.2326 berbanding dolar AS, katanya.

Katanya, pasaran mungkin mahu menunggu mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada minggu depan antara 14-15 Dis sementara Indeks Harga Pengguna AS akan dipantau dengan lebih teliti apabila ia dikeluarkan pada Jumaat ini.

"Unjuran konsensus meletakkan pada 6.8 peratus tahun ke tahun bagi November berbanding kenaikan 6.2 peratus pada Oktober.

"Oleh itu pasaran mungkin akan melihat bagaimana Rizab Persekutuan AS membuat penilaian berdasarkan kepada kemunculan varian yang membimbangkan pada masa (apabila inflasi) dijangka masih tinggi," katanya.

Unit tempatan diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0954/0973 daripada 3.0974/0986 pada Selasa dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7206/7227 daripada 3.7221/7230.

Unit tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.7672/7695 daripada 4.7699/7710 dan menokok berbanding pound British kepada 5.5938/5965 daripada 5.6133/6147.

-- BERNAMA