KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan minat belian diperbaharui, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.6420/6450 berbanding dolar AS daripada 4.6470/6500 ketika ditutup semalam.

Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata ringgit bagaimanapun tidak reaktif untuk beberapa hari kerana aset risiko Malaysia tidak mencatatkan kenaikan sama seperti aset ASEAN dan global yang lain.

"Bursa Sekuriti Australia (ASX) naik 3.6 peratus dan Jepun naik 2.7 peratus, mendorong permintaan untuk mata wang mereka manakala Bursa Malaysia hanya naik 0.16 peratus (saham tersebut adalah aset berisiko).

"Saya menjangkakan Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini menyebabkan pelabur tempatan membeli mata wang Amerika Syarikat atau berada di luar pasaran walaupun landskap kelihatan lebih baik untuk ringgit," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Innes berkata pelabur tempatan dan antarabangsa memantau dengan teliti Bajet 2023 kerana ringgit sepatutnya mengukuh dalam persekitaran tersebut.

"Pasaran bimbang bajet itu boleh melebarkan defisit dan menjejaskan permintaan terhadap ringgit kerana pelabur tidak pasti jika ada sebarang langkah fiskal baharu atau pemotongan cukai akan diperkenalkan. Sama ada ia boleh menjejaskan ringgit.

"Saya berpendapat ini adalah isunya memandangkan baht Thai turun 0.67 peratus hari ini dan Thailand adalah pengimport minyak berbanding Malaysia sebagai pengeksport dan harga minyak naik semula," katanya.

Ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan merosot pound British kepada 5.2752/2786 daripada 5.1963/1996 ketika ditutup semalam dan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2462/2487 daripada 3.2354/2379.

Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 3.2067/2090 daripada 3.2015/2040 ketika ditutup pada Isnin dan jatuh berbanding euro kepada 3.2067/2090 daripada 3.2015/2040 sebelumnya.


-- BERNAMA