BEIRUT: Beberapa pemimpin tertinggi Lubnan mengecam serangan tentera Israel ke atas sebuah kenderaan tentera di selatan negara itu yang mengorbankan dua pegawai dan seorang anggota tentera.
Bantahan itu dinyatakan menerusi kenyataan rasmi pejabat pentadbiran tertinggi susulan insiden yang menyasarkan kenderaan pacuan empat roda milik Angkatan Tentera Lubnan, lapor Al Jazeera.
Menurut pihak berkuasa, serangan tersebut merupakan pelanggaran jelas terhadap kedaulatan negara serta undang-undang antarabangsa.
“Serangan ini merupakan satu pelanggaran nyata terhadap kedaulatan wilayah Lubnan serta norma dan undang-undang antarabangsa.
“Komuniti antarabangsa digesa untuk segera bertindak bagi menghentikan pencerobohan berulang oleh tentera Israel,” menurut kenyataan itu.
Pihak Lubnan menegaskan insiden berkenaan berlaku ketika ketegangan ketenteraan masih tinggi, walaupun usaha diplomatik sedang giat dijalankan bagi meredakan konflik di rantau tersebut.
Sementara itu, tentera Israel mempertahankan tindakan tersebut dengan mendakwa kenderaan tentera Lubnan itu berada dalam kawasan operasi aktif.
Menurut jurucakap berbahasa Arab tentera Israel, kawasan sempadan berkenaan telah ditetapkan sebagai zon konflik yang memerlukan penyelarasan pergerakan.
Bagaimanapun, pihak tentera Israel mengakui insiden itu sedang disiasat secara dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian.
Perkembangan ini dilihat berpotensi menjejaskan usaha diplomatik sedia ada untuk meredakan ketegangan di selatan Lubnan, termasuk rundingan yang sedang berlangsung.