KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding mata wang utama lain pada penutup urus niaga hari ini berikutan pembetulan yang berterusan.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7780/7830 berbanding dolar AS 4.7825/7865 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit masih dalam mod pembetulan selepas aliran menurun yang mendadak baru-baru ini, tetapi berpendapat trend itu mungkin tidak bertahan lama.

"Dolar AS akan terus mendapat permintaan tinggi dalam masa ketidaktentuan global. Kami percaya tumpuan kini adalah kepada perkembangan konflik Israel-Palestin terutamanya mengenai kemungkinan berlakunya pencerobohan darat.

"Kami melihatnya ia mungkin akan berubah haluan dengan pantas," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, Mohd Afzanizam berkata peserta pasaran akan terus memberi perhatian kepada perkembangan di Timur Tengah.

Pada masa yang sama, perkembangan krisis hutang hartanah China turut mencetuskan kebimbangan, berikutan laporan bahawa buat pertama kalinya, pemaju China, Country Garden gagal membayar faedah ke atas bon dolar AS dalam tempoh penangguhan yang berakhir minggu lepas.

Pemain pasaran juga menunggu anggaran awal keluaran dalam negara kasar suku ketiga Amerika Syarikat (AS) pada Khamis untuk menentukan keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan AS seterusnya menjelang mesyuaratnya pada akhir bulan ini.

Dalam negara, ringgit meningkat berbanding euro kepada 5.0494/0547 daripada 5.0881/0924 ketika ditutup pada Selasa, naik berbanding pound Britain kepada 5.7905/7965 daripada 5.8557/8606 semalam, dan menokok sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.1866/1902 daripada 3.1960/1989 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu juga diniagakan tinggi berbanding mata wang negara serantau yang lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4871/4910 daripada 3.5003/5035 ketika ditutup pada Selasa, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 301.0/301.5 daripada 301.7/302.1 semalam, naik berbanding peso Filipina kepada 8.40/8.41 daripada 8.42/8.43 dan menokok berbanding baht Thai kepada 13.1960/2153 daripada 13.2186/2352 sebelumnya.

-- BERNAMA