KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan kenaikan berbanding dolar US pada penutupan hari ini berikutan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) tidak menaikkan kenaikan kadar faedah.

Ia berlaku apabila Indeks Dolar US (DXY) jatuh 0.18 peratus kepada 103.526 mata, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.6505/6560 berbanding dolar US daripada 4.6655/6705 sewaktu ditutup pada Isnin.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan telah menembusi paras rintangan sebelumnya pada RM4.6611 dengan paras rintangan seterusnya kini dilihat pada RM4.5578 berbanding dolar US.

"Sehubungan itu, pasaran akan mencari untuk lebih banyak bukti mengenai kemungkinan perubahan dalam pendirian monetari AS. Sehubungan itu, minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang dijadualkan dikeluarkan lewat hari ini akan dipantau dengan teliti oleh pasaran," katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding euro kepada 5.0895/0955 daripada paras penutup 5.0999/1053 pada Isnin, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8271/8340 daripada 5.8314/8377 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.1467/1504 daripada 3.1456/1491 sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggit berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 301.1/301.7 daripada paras penutup 302.0/302.5, melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.4775/4822 daripada 3.4817/4857 dan naik berbanding baht Thai kepada 3.1989/2201 daripada 13.2784/2987 semalam.

Bagaimanapun, unit tempatan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.40/8.41.

-- BERNAMA