KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, menjejaki sentimen positif di pasaran ekuiti, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat ke paras 4.7765/7820 berbanding dolar AS daripada 4.7800/7850 yang dicatatkan semalam.

Bursa Malaysia ditutup tinggi dengan indeks utama meningkat 0.34 peratus, disokong oleh dana asing baharu serta sokongan belian lewat daripada dana tempatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI Stephen Innes berkata ringgit menerima sedikit sokongan daripada sentimen risiko positif dan stabil kepada harga minyak yang lebih tinggi sepanjang sesi dagangan di Asia.

"Bagaimanapun, keuntungan dihadkan sebelum laporan inflasi Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Amerika Syarikat (AS) malam ini.

"Memandangkan implikasi keseluruhan untuk tolok inflasi pilihan Rizab Persekutuan, ia adalah petunjuk yang diberi perhatian utama," katanya kepada Bernama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit telah mendapat sedikit keuntungan berbanding dolar AS, meningkat kira-kira 0.12 peratus hari ini.

Mengenai pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2023, beliau berkata data menunjukkan ekonomi Malaysia terdedah kepada permintaan global yang lemah.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 3.7 peratus pada 2023 dengan pengembangan 3.0 peratus pada suku keempat 2023, disokong oleh pemulihan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran buruh.

Pada 2024, kerajaan yakin dapat mencapai pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh antara empat dan lima peratus berdasarkan asas kukuh dan pembaharuan yang digariskan dalam Ekonomi dan Belanjawan MADANI 2024.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama kecuali yen Jepun yang meningkat kepada 3.1780/1818 daripada 3.1860/1896 ketika ditutup pada Khamis.

Unit tempatan rendah berbanding pound Britain kepada 6.0117/0186 daripada 6.0008/0071 dan merosot berbanding euro kepada 5.1419/1478 daripada 5.1304/1357 sebelumnya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean lain.

Ia merosot berbanding baht Thailand kepada 13.2559/2763 daripada 13.2084/2292 ketika ditutup semalam dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.5479/5522 daripada 3.5481/5521.

Dalam pada itu, unit tempatan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.53/8.55 daripada 8.53/8.54 semalam dan tidk berubah berbanding rupiah Indonesia pada 305.7/306.1 daripada 305.7/306.0 sebelumnya.

-- BERNAMA