Ringgit kukuh, ditutup tinggi selepas MPC BNM kekalkan OPR pada2.75 peratus

Pada 6 petang, ringgit meningkat sebanyak 70 mata peratusan (pip) kepada 4.1820/1845 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi dan kekal stabil pada paras 4.18 hari ini apabila mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tahun ini mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Pada 6 petang, ringgit meningkat sebanyak 70 mata peratusan (pip) kepada 4.1820/1845 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih baik daripada 4.1890/1925 ketika ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan MPC BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus adalah positif bagi ringgit.
"BNM berkemungkinan mengekalkan pendirian semasa bagi jangka masa pendek memandangkan kadar inflasi diunjurkan kekal sederhana," katanya kepada Bernama.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan pula berkata keputusan MPC BNM mengekalkan OPR itu mengukuhkan kestabilan dasar dan mencerminkan keyakinan terhadap daya tahan permintaan domestik dalam keadaan tekanan inflasi yang terkawal.
"Pendirian dasar yang stabil ini membantu mengekalkan jangkaan kadar faedah dan menyokong kestabilan mata wang pada ketika keadaan luaran masih tidak menentu," katanya.
Beliau berkata ringgit ditutup lebih kukuh berbanding dolar AS sejajar dengan peningkatan yang dicatatkan kebanyakan mata wang negara di Asia.
"Kami mendapati kenaikan kukuh berterusan dolar AS mula menunjukkan keadaan semakin lemah, dengan kedudukan kini lebih mudah terdedah kepada penurunan apabila pelabur menilai semula kemampanan momentum terdahulu," katanya.
Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan meningkat berbanding yen kepada 2.7202/7220 daripada 2.7254/7279 ketika ditutup pada Rabu namun, susut berbanding pound British kepada 5.4696/4729 daripada 5.4612/4658.
Mata wang domestik turun berbanding euro kepada 4.8143/8172 daripada 4.8106/8147.
Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2034/2055 daripada 3.2055/2085 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 250.3/250.6 daripada 250.5/250.9.
Ringgit turun berbanding peso Filipina kepada 7.09/7.10 daripada 7.12/7.13 namun, lebih kukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9178/9311 daripada 12.8730/8893 semalam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


