[TERKINI] Seorang maut, tujuh cedera kemalangan bas dan dua lori di PLUS
![[TERKINI] Seorang maut, tujuh cedera kemalangan bas dan dua lori di PLUS [TERKINI] Seorang maut, tujuh cedera kemalangan bas dan dua lori di PLUS](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2026-02/61770253173_TBkemalangan.jpg)
Kemalangan yang dilaporkan pada jam 5.12 pagi itu melibatkan sebuah bas ekspres, sebuah lori bonded 10 tan dan sebuah lori treler. - Foto JBPM Selangor
KUALA LUMPUR : Seorang lelaki maut manakala tujuh individu cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres dan dua buah lori di Kilometer 433 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, awal pagi Rabu.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, keseluruhan kejadian itu melibatkan seramai 31 mangsa, merangkumi penumpang bas serta pemandu dan kelindan lori yang terlibat.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, seorang disahkan maut, tujuh mengalami kecederaan manakala baki 23 mangsa tidak mengalami kecederaan serius.
“Kemalangan yang dilaporkan pada jam 5.12 pagi itu melibatkan sebuah bas ekspres jenis Scania, sebuah lori bonded 10 tan dan sebuah lori treler, selain turut mengakibatkan kebakaran,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, bas ekspres berkenaan membawa 28 individu terdiri daripada penumpang dewasa, kanak-kanak serta dua pemandu.
Seorang pemandu bas mengalami kecederaan parah selepas tersepit di dalam kenderaan, manakala beberapa penumpang lain termasuk seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan ringan dan berada dalam keadaan sedar. Selebihnya tidak mengalami kecederaan serius.
Dalam kejadian sama, pemandu lori bonded 10 tan milik syarikat Securiforce disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas tersepit, manakala kelindannya mengalami kecederaan patah tulang rusuk dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh.
Pemandu lori treler pula mengalami kecederaan di bahagian belakang tengkuk namun menolak untuk dibawa ke hospital.
Operasi menyelamat melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, membabitkan seramai 16 anggota serta beberapa jentera penyelamat.
Mayat mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala semua mangsa cedera diserahkan kepada pihak KKM.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


