Skip to main content

Bisnes

Ringgit mengukuh 3.3 peratus berbanding dolar AS sehingga Mei

Kuala Lumpur , 15 Mei 2026. Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour pada sidang media Prestasi Ekonomi Suku Pertama Tahun 2026 di Bank Negara. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Abdul Rasheed berkata, pengukuhan mata wang tempatan itu dipacu momentum pertumbuhan ekonomi negara yang stabil selain keyakinan tinggi pelabur bukan pemastautin terhadap pasaran kewangan domestik. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan pengukuhan pada suku pertama 2026 apabila mencatat prestasi lebih baik berbanding beberapa mata wang utama dunia, disokong asas ekonomi domestik yang kukuh serta aliran masuk pelaburan asing yang berterusan.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ringgit menambah nilai sebanyak 3.3 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat 13 Mei lalu, manakala kadar pertukaran efektif nominal (NEER) turut meningkat 2.9 peratus dalam tempoh sama.

Kata beliau, sepanjang suku pertama tahun ini, ringgit juga mengukuh sebanyak 0.5 peratus berbanding dolar AS walaupun pasaran kewangan global berdepan ketidaktentuan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

"Walaupun pasaran pertukaran asing berdepan sedikit volatiliti akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat dan jangkaan yang semakin berkurangan terhadap penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed), prestasi ringgit kekal kukuh sejak awal tahun," katanya pada sidang media prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2026 di sini, pada Jumaat.

Abdul Rasheed berkata, pengukuhan mata wang tempatan itu dipacu momentum pertumbuhan ekonomi negara yang stabil selain keyakinan tinggi pelabur bukan pemastautin terhadap pasaran kewangan domestik.

Selain itu, menurutnya, ringgit turut mencatat peningkatan 1.4 peratus dari segi NEER pada suku pertama tahun ini, sekali gus mencerminkan kedudukan mata wang tempatan yang lebih stabil berbanding kebanyakan rakan dagangan utama Malaysia.

Abdul Rasheed berkata, pelaksanaan reformasi ekonomi secara berterusan turut menjadi antara faktor penting yang menyokong aliran masuk pelaburan asing dan memperkukuh nilai ringgit.

Katanya, meskipun faktor luaran termasuk dasar kadar faedah AS terus mempengaruhi sentimen pasaran global, fundamental ekonomi Malaysia yang kukuh membantu mengekalkan daya tahan ringgit.

Must Watch Video