KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, mencatatkan kenaikan marginal selepas penurunan baru-baru ini, apabila dana mengalir semula ke dalam pasaran pesat membangun.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6495/6535 berbanding dolar AS daripada 4.6525/6580 ketika ditutup Jumaat lepas.

Penyelidikan oleh MIDF Amanah Investment Bank menjelaskan dalam melangkah ke hadapan, ringgit dan mata wang serantau lain akan meraih manfaat daripada kelemahan dolar AS, dengan lebih banyak dana mengalir semula ke dalam pasaran pesat membangun.

Pemulihan perdagangan serantau, disokong oleh pertumbuhan mampan ekonomi China dan kerancakan semula aktiviti pembuatan global akan menambah baik lagi sentimen.

"Susulan kenaikan kukuh berterusan Perbendaharaan AS baru-baru ini, kami menjangkakan kelemahan dolar berterusan memandangkan permintaan terhadap aset selamat telah berkurangan, sejajar dengan minat pelabur yang semakin meningkat terhadap aset lebih berisiko.

"Walau bagaimanapun, dolar masih kekal pada kecenderungan meningkat kerana risiko kemungkinan kemelesetan di AS dan ketegangan geopolitik yang semakin bertambah boleh mengakibatkan peningkatan penghindaran risiko, yang menyokong dolar AS," jelasnya dalam nota penyelidikan.

Penyelidikan oleh bank pelaburan itu memaklumkan bahawa pengurangan kadar faedah mungkin dipengaruhi oleh daya tahan berterusan ekonomi AS jika keadaan permintaan kekal teguh dan pasaran buruh masih terhad.

Dolar akan memperoleh manfaat daripada kecenderungan dasar yang lebih tinggi untuk tempoh lebih lama, tambahnya.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik susut berbanding pound Britain kepada 5.9025/9076 daripada 5.8891/8961 ketika ditutup Jumaat lepas, serta rendah berbanding euro kepada 5.0852/0895 daripada 5.0763/0823.

Ringgit juga susut berbanding yen Jepun kepada 3.2234/2264 daripada 3.2038/2078.

Mata wang tempatan didagangkan tinggi berbanding mata wang negara Asean.

Ringgit lebih stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.4940/4973 daripada 3.4944/4988 semasa ditutup pada Jumaat lepas, dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.35/8.36 daripada 8.37/8.38.

Mata wang domestik naik berbanding rupiah Indonesia kepada 299.4/299.8 daripada 299.8/300.3 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2661/2870 daripada 13.4001/4236.

-- BERNAMA