SEOUL: Kumpulan generasi kedua K-pop, BIGBANG, pada Khamis mendedahkan tarikh dan lokasi untuk jelajah dunianya sempena ulang tahun ke-20 kumpulan itu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut poster jelajah yang dikeluarkan pada akaun media sosial rasmi agensi YG Entertainment, lawatan itu akan bermula di Goyang Korea Selatan pada Ogos dan diteruskan ke seluruh Amerika Utara, Eropah, Oceania dan Asia hingga Februari 2027.
Ia akan merangkumi 31 persembahan di 18 bandar, termasuk Oakland, Paris, London, Taipei, Singapura, Hanoi, Sydney, Bangkok, Tokyo dan Kuala Lumpur.
Venue yang dirancang termasuk stadium berkapasiti besar dan arena kubah, seperti Stadium Goyang, Stadium MetLife di New Jersey, Stade de France di Paris, Stadium Tottenham Hotspur di London, Tokyo Dome dan Kyocera Dome Osaka.
Jelajah berkenaan meraih jangkaan besar dalam kalangan peminat, kerana ia akan menjadi jelajah dunia pertama BIGBANG dalam masa kira-kira sembilan tahun, selepas jelajah "Last Dance" pada 2017.
Menurut YG, tarikh lawatan dan lokasi tambahan akan diumumkan kemudian.
BIGBANG memasuki industri pada Ogos 2006 dan menyambut ulang tahunnya ke-20 tahun ini.
Kumpulan itu telah menghasilkan banyak lagu popular, termasuk "Haru Haru", "Fantastic Baby", "Bang Bang Bang", "Lies", "Last Dance" dan "Last Farewell" sejak dua dekad lalu.
-- BERNAMA-YONHAP