Ringgit mulakan urus niaga 2026 lebih mengukuh susulan dolar AS lemah

KUALA LUMPUR: Ringgit lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari pertama urus niaga 2026 hari ini, ketika mata wang negara maju itu susut nilai diasak jangkaan Rizab Persekutuan AS akan terus melakukan penurunan kadar faedah dalam tahun ini.
Ringkasan AI
- Ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada hari pertama urus niaga 2026, disebabkan jangkaan Rizab Persekutuan AS akan menurunkan kadar faedah.
- Donald Trump menekan Rizab Persekutuan AS agar mengekalkan kadar faedah rendah, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur dan penggubal dasar.
- Ringgit mengukuh disokong oleh pengukuhan mata wang serantau serta prestasi positif mata wang Asia, dipetik daripada Indeks Bloomberg Asia Dolar yang menunjukkan peningkatan.
Laporan menyatakan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka terus melaksanakan penurunan seterusnya bagi kadar faedah utama tahun ini, di tengah-tengah tekanan serta desakan terbuka Presiden Donald Trump agar kepimpinan bank pusat itu lebih cenderung terhadap pendirian menurunkan kadar faedah.
Jangkaan sedemikian hanya memberi tekanan terhadap dolar AS berikutan kenyataan terbuka Trump yang mahukan pengerusi baharu Fed mengekalkan kadar faedah pada paras rendah dan perlu senada dengan presiden.
Kenyataan itu hanya meningkatkan lagi kebimbangan kalangan pelabur serta penggubal dasar mengenai Fed sebagai sebuah badan bebas.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan, berkata ringgit mengukuh seiring mata wang serantau, disokong oleh pengukuhan Indeks Bloomberg Asia Dolar yang menunjukkan prestasi mata wang Asia secara menyeluruh kembali mengukuh.
Beliau berkata pada 2025, Indeks Dolar Amerika Syarikat (DXY) susut kira-kira 9.6 peratus yang mencerminkan kelonggaran berterusan terhadap dolar AS yang selama ini dilihat berada dalam kedudukan istimewa.
"Ringgit dilihat berada pada kedudukan baik untuk meneruskan trend pengukuhan sehingga 2026 berbanding dolar AS susulan prospek makro Asia yang terus meningkat.
"(Faktor) paling ketara adalah Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Komposit China yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh enam bulan didorong sektor pembuatan dan perkhidmatannya yang kembali berkembang," katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, pada pembukaan urus niaga hari ini, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.
Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5864/5933 daripada 2.5907/5934 pada Rabu lepas, namun susut nilai berbanding pound Britain kepada 5.4624/4765 daripada 5.4531/4585 dan rendah berbanding euro kepada 4.7635/7758 daripada 4.7617/7664.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN yang lain.
Ini termasuk meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1541/1628 daripada 3.1550/1584, naik berbanding baht Thailand kepada 12.8291/8742 daripada 12.8560/8756, mengukuh berbanding rupiah Indonesia pada 242.9/243.6 daripada 243.2/243.6 dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.88/6.91 daripada 6.88/6.90.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


