Skip to main content

Politik

11 bahagian Bersatu Johor umum bubar

politik, bersatu, johor, bubar, sinarharian
Seramai 11 Ketua Bahagian Bersatu di Johor umum perletakan jawatan pada sidang akhbar di Simpang Renggam, Kluang pada Rabu.

KLUANG: Sebanyak 11 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mengumumkan pembubaran bahagian masing-masing susulan krisis dalaman parti yang melanda ketika ini.

Bahagian terbabit ialah Mersing, Pontian, Johor Bahru, Labis, Simpang Renggam, Sembrong, Pengerang, Tanjung Piai, Ledang, Pulai dan Sri Gading.

Advertisement

Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Datuk Isa Ab Hamid, yang mewakili ketua-ketua bahagian berkenaan berkata, keputusan itu dibuat berikutan ketiadaan sebarang maklum balas jelas daripada kepimpinan parti terhadap kenyataan media yang dikemukakan pada 27 Januari lalu.

Menurutnya, krisis dalaman parti semakin meruncing apabila berlakunya pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin diikuti pemecatan beramai-ramai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baru-baru ini.

“Keadaan ini menunjukkan hala tuju parti seolah-olah sudah rosak dan kepercayaan pengundi yang sebelum ini menyokong Bersatu dilihat semakin hilang.

"Ketidakupayaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menyatukan ketua-ketua si peringkat bahagian membuatkan kami hilang kepercayaan bersama parti lebih-lebih lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar perletakan jawatan Ketua Bahagian Bersatu bersama kira-kira 100 ahli di Simpang Renggam di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Isa berkata, surat perletakan jawatan Ketua Bahagian Bersatu berkenaan akan diserahkan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam masa terdekat.

Tambahnya, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi bahagian akan menyusul melakukan tindakan sama.

"Perletakan jawatan beramai-ramai membabitkan Ketua Bahagian Bersatu dan ahli di peringkat bahagian dibuat dalam mesyuarat bahagian mereka sebelum ini.

"Difahamkan bahagian Bersatu Mersing dan Labis sudah menghantar surat perletakan jawatan. Begitu juga bahagian Johor Bahru," katanya.

Ditanya tentang perancangan masa depan, katanya setakat ini mereka akan bergerak sebagai pertubuhan bukan kerajaan ( NGO) membantu masyarat setempat.

"Pada dasarnya sebahagian kami pun ada platform NGO. Kami bergerak dengan NGO.

"Dengan parti bawah Perikatan Nasional pun kami bekerjasama. Ada kegiatan-kegiatan yang Pas jemput kami. Sebagai rakan mantan, bekas rakan parti politik, kami akan hadir. Lebih-lebih lagi bulan puasa," ujarnya. - Sinar Harian

 

 

 

Must Watch Video