KUALA LUMPUR: Ringgit susut lagi berbanding dolar US hari ini selepas dolar mengalami pemulihan susulan data ekonomi yang kukuh di Amerika Syarikat (AS) dan menjelang laporan inflasinya yang akan diumumkan pada pertengahan minggu ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.4070/4120 berbanding dolar US daripada 4.3995/4035 yang disaksikan semasa Jumaat lepas.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata dolar US diniagakan lebih kukuh pada Isnin, berdasarkan data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS yang agak mantap.

Dilaporkan pada Jumaat lalu, NFP AS meningkat sebanyak 236,000 pekerjaan pada Mac, hampir mencecah anggaran pasaran iaitu pada paras 240,000.

"Oleh itu, hasil (bon) AS menjadi sedikit tinggi dan ini menjejaskan sentimen ringgit," katanya kepada Bernama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit bergerak dalam jajaran kecil hari ini, berlegar sekitar RM4.402 hingga RM4.411 berbanding dolar US dan kebanyakannya lemah berbanding mata wang utama.

Beliau juga berkata, dolar Singapura pula telah menokok berbanding dolar US selepas Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mungkin akan mengetatkan dasar monetarinya dengan membenarkan peningkatan selanjutnya terhadap Kadar Pertukaran Efektif nominal Dolar Singapura (SGDNEER) pada 14 April.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia lemah berbanding euro kepada 4.8063/8117 daripada 4.8016/8060 dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.4801/4863 daripada 5.4730/4780 sebelumnya, namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3346/3386 daripada 3.3411/3443.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang Asean.

Ia kurang bermaya berbanding euro pada 8.10/8.11 daripada 8.08/8.09 sebelum ini dan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.3158/3200 daripada 3.3079/3114.

Ringgit juga merosot berbanding rupiah Indonesia pada 295.70/296.10 daripada 295.00/295.30 tetapi naik berbanding baht Thailand kepada 12.8338/8547 daripada 12.9090/9279 sebelum ini.

-- BERNAMA