KUALA LUMPUR: Kadar pertukaran ringgit menyaksikan tempoh penurunan nilai berterusan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2022 susulan tindakan Rizab Persekutuan AS menaikkan dasar kadar faedah secara agresif sebanyak 425 mata asas bagi menangani inflasi, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2022 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat itu berkata penurunan nilai tersebut turut dialami mata wang utama lain berbanding dolar AS.

Menurut BNM, ini mencetuskan kebimbangan apabila kadar pertukaran ringgit berbanding dolar AS menghampiri paras ketika Krisis Kewangan Asia sehinggakan terdapat desakan agar ringgit ditambat bagi mengelaknya terus susut.

Paras tertinggi kadar intra harian ringgit pada 4 Nov, 2022 adalah pada 4.7495 berbanding paras tertinggi kadar intra harian 7 Jan, 1998 pada 4.8850.

"Walaupun pergerakan kecil dalam kadar pertukaran ringgit adalah perkara biasa, turun naik yang besar dalam paras ringgit (sebaliknya) boleh memberi kesan berkekalan pada perniagaan, isi rumah dan ekonomi.

"Penurunan nilai ringgit turut merugikan individu yang menggunakan barangan dan perkhidmatan import dan jika ini berterusan, ia boleh menyebabkan kenaikan kos sara hidup secara keseluruhan.

"Pada masa sama, nilai ringgit yang lemah boleh meningkatkan pendapatan pengeksport," katanya.

Bagaimanapun, BNM berkata walaupun ringgit mengalami penurunan nilai secara mendadak berbanding dengan dolar AS, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) Malaysia secara relatifnya adalah stabil.

Ini berikutan mata wang rakan dagangan utama turut sama terjejas seperti ringgit dan daya saing relatif Malaysia kekal tidak berubah pada negatif 5.4 peratus bagi 2022.

"Meskipun terdapat kejutan luaran yang besar dalam bentuk pelarasan kadar faedah yang pantas serta ketara di AS yang menyebabkan kepesatan penambahan nilai dolar AS berbanding kebanyakan mata wang, daya saing Malaysia secara relatifnya tidak terjejas.

"Ekonomi dalam negara kekal di landasan pemulihan dengan mencatat kadar pertumbuhan sebanyak 8.7 peratus bagi tahun itu," katanya.

BNM juga mengingatkan bahawa rejim kadar pertukaran Malaysia yang fleksibel dan turun naik ringgit juga adalah sesuatu yang dijangka berlaku dari semasa ke semasa.

Malah, berikutan cabaran dalam ekonomi global yang terus berubah, perkembangan dolar AS berkemungkinan akan terus menjadi faktor utama dari segi kesan terhadap kadar pertukaran ringgit.

"Sistem kewangan negara telah bertahan dengan baik sepanjang tempoh ini dan terus memudahkan pengantaraan untuk menyokong ekonomi yang lebih luas," katanya.

Bank pusat itu berkata susulan pelbagai peristiwa pada 2022, ia akan terus memantau perkembangan secara proaktif dan memastikan ekonomi negara terus didukung oleh rejim kadar pertukaran yang menyokong mandat ditetapkan.

"Ini bagi mencapai kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan," katanya.

-- BERNAMA