KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran penurunannya apabila ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin selepas hasil Perbendaharaan 10 tahun AS mencecah paras 5.0 peratus dalam senario ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

Pada 6 petang, unit tempatan itu merosot 0.49 peratus kepada 4.7900/7975 berbanding dolar AS daripada 4.7655/7700, Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit diasak tekanan dan kekal lemah berbanding dolar AS biarpun konflik Israel-Hamas menyaksikan beberapa perkembangan positif.

Beliau berkata, ini berikutan bantuan kemanusiaan seperti makanan, air dan bekalan ubat-ubatan dapat diserahkan kepada warga Palestin pada hujung minggu lepas.

"Bagaimanapun, pasaran tukaran mata wang asing dijangka kekal berisiko yang hanya meningkatkan lagi permintaan terhadap dolar AS," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam juga mengunjurkan bahawa paras psikologi bagi ringgit adalah RM4.80 dan berlegar sekitar RM4.78 berbanding dolar AS pada masa ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata faktor di peringkat luaran terus mendorong perkembangan membabitkan prestasi ringgit dan mata wang serantau.

Beliau berkata, salah satu faktor yang mempengaruhi prestasi ringgit bagi tahun ini adalah jangkaan bahawa Kadar Dana Persekutuan (FFR) AS akan kekal lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama.

Selain itu, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata bank pusat itu akan melaksanakan sebarang langkah perlu untuk memastikan ringgit terus diselaras secara teratur, yang membolehkan urusan perniagaan dipermudah.

"Hampir semua mata wang di dunia menyusut berbanding dolar AS, terutamanya di negara pesat membangun termasuk Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, berbanding kelompok mata wang utama lain, ringgit diniagakan rendah berbanding pound Britain kepada 5.8179/8270 daripada 5.7777/7831 pada Jumaat, susut berbanding euro kepada 5.0736/0815 daripada 5.0462/0510 dan rendah berbanding yen pada 3.1935/1985 daripada 3.1781/1813 sebelum ini.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama Asean.

Ia susut berbanding berbanding baht Thailand kepada 13.1104/1359 daripada 13.0504/0681 dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4872/4932 daripada 3.4731/4767 pada Jumaat.

Unit tempatan itu juga merosot berbanding peso Filipina pada 8.43/8.44 daripada 8.38/8.40 namun mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 300.5/301.2 daripada 300.1/300.7, sebelum ini.

-- BERNAMA