KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS hari ini berikutan permintaan yang kurang menggalakkan susulan pelabur menunggu pemangkin pasaran yang seterusnya.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan kekal tidak berubah pada 4.7380/7420 berbanding dolar AS daripada 4.7380/7425 semalam.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata peserta pasaran sedang menunggu data senarai gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan malam ini yang mempunyai potensi menyebabkan pergerakan ketara dalam pasaran.

Terdahulu, data Tuntutan Pengangguran Awal AS pada Mac mencatatkan 221,000, mengatasi unjuran 213,000, memberikan impak negatif kepada dolar AS.

Oleh itu, katanya data senarai gaji bukan ladang penting untuk memberikan hala tuju kepada pasaran pertukaran asing.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen penghindaran risiko menjadi tumpuan utama apabila ekuiti penanda aras merosot dan sekuriti Perbendaharaan AS yang selamat menjana pulangan rendah dalam persekitaran kebimbangan meningkat mengenai konflik geopolitik di Timur Tengah.

"Kenaikan harga minyak mentah baru-baru ini memerlukan penelitian yang lebih teliti berikutan risiko geopolitik akan menguasai sentimen pasaran kepada tahap apabila pemain pasaran akan mendapatkan perlindungan dalam mata wang selamat dolar AS.

"Oleh itu, ringgit berbanding dolar AS dijangka kekal rendah, pada sekitar RM4.74-RM4.75 hari ini," katanya kepada Bernama.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali yen Jepun.

Ia meningkat berbanding euro kepada 5.1365/1408 daripada 5.1445/1494 pada Khamis, naik berbanding pound kepada 5.9917/9967 daripada 6.0002/0059 semalam, bagaimanapun rendah berbanding yen Jepun kepada 3.1390/1419 daripada 3.1222/1254 sebelum ini.

Begitu juga, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan naik berbanding baht Thailand kepada 12.8978/9129 daripada 12.9048/9223 pada Khamis, meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.38/8.39 daripada 8.40/8.41 semalam dan menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.5146/5178 daripada 3.5172/5208 sebelum ini.

Ia turut diniagakan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 298.1/298.4 daripada 298.1/298.5 semalam.

-- BERNAMA