Skip to main content

Malaysia

KDN sedia teliti semula mekanisme anggota RELA guna senjata api bantu pekebun

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Kementerian Dalam Negeri akan meneliti semula mekanisme penggunaan senjata api oleh anggota RELA untuk membantu pekebun menangani ancaman hidupan liar.
  • Penelitian melibatkan aspek kelulusan, syarat kelayakan, had penggunaan serta pematuhan kepada undang-undang dan bidang kuasa Polis Diraja Malaysia.
  • KDN akan memperkukuh operasi bersepadu bersama PERHILITAN dan agensi berkaitan, serta meneliti keperluan latihan dan prosedur operasi standard anggota RELA.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia untuk meneliti semula mekanisme penggunaan senjata api oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi membantu pekebun menangani ancaman musuh tanaman susulan kerugian akibat gangguan hidupan liar yang terus menjejaskan sektor pertanian.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata penelitian itu akan merangkumi aspek kelulusan dan penggunaan senjata api termasuk syarat kelayakan, bentuk kebenaran dan had penggunaannya tertakluk kepada bidang kuasa Polis Diraja Malaysia serta peruntukan undang-undang.

Beliau berkata sebelum ini, anggota RELA yang terpilih dan lulus tapisan pernah dibekalkan senjata api jenis shotgun bagi membantu tugas keselamatan setempat serta operasi membasmi musuh tanaman.

Advertisement

Bagaimanapun, katanya amalan itu dihentikan susulan insiden penyalahgunaan dan kemalangan melibatkan senjata api selain penstrukturan semula tatacara penggunaan senjata api susulan transformasi RELA melalui Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 [Akta 752]. 

“Pada masa ini, RELA masih boleh membantu operasi bersepadu membasmi musuh tanaman bersama dengan PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) dan komuniti setempat.

Advertisement

“Peranan RELA tertumpu kepada bantuan logistik, kawalan perimeter keselamatan, kepungan kawasan, pemasangan perangkap dan bantuan sokongan lain yang dibenarkan... tindakan menembak hidupan liar sebagai langkah terakhir, ini dilaksanakan oleh pegawai penguat kuasa PERHILITAN yang bertauliah,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Shamsul Anuar menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang mencadangkan agar kerajaan menilai semula dasar berkaitan peranan anggota RELA dalam menangani musuh tanaman termasuk memberi kebenaran terkawal kepada anggota yang memenuhi syarat memiliki dan menggunakan senjata api.

Rosol berkata rekod Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menunjukkan sebanyak 76,361 aduan konflik hidupan liar direkodkan di seluruh negara sejak 2021 hingga Mei tahun ini, dengan anggaran kerugian mencecah RM58.7 juta sekali gus menjejaskan pendapatan pekebun serta keterjaminan makanan negara.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata KDN memahami kesulitan yang dihadapi pekebun akibat gangguan hidupan liar seperti babi hutan, kera dan gajah yang bukan sahaja memusnahkan hasil tanaman serta menjejaskan pendapatan malah boleh mengancam keselamatan penduduk di kawasan luar bandar serta berhampiran hutan.

Beliau berkata sebarang cadangan memperluas peranan RELA perlu diteliti secara berhati-hati dengan mengambil kira keperluan pekebun, keselamatan awam dan pemuliharaan hidupan liar.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata KDN akan memberi tumpuan kepada empat perkara utama antaranya memperkukuh operasi bersepadu yang diterajui PERHILITAN termasuk penilaian tahap ancaman dan penilaian kawasan berisiko.

Selain itu, kementerian akan meneliti kelulusan penggunaan senjata api, mengenal pasti anggota RELA yang mempunyai kompetensi, pengalaman dan latihan keselamatan bersesuaian serta memperincikan prosedur operasi standard bersama antara agensi.

Shamsul Anuar berkata sebarang cadangan membenarkan anggota menggunakan senjata api perlu mematuhi Akta 752, Akta Senjata Api 1960 dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Beliau berkata KDN juga akan menyelaraskan perbincangan bersama dengan NRES khususnya PERHILITAN dan PDRM bagi memperhalusi mekanisme kerjasama yang bersesuaian.

“KDN juga ambil maklum bahawa terdapat sebanyak 830 anggota RELA aktif di Hulu Terengganu daripada keseluruhan 25,322 anggota berdaftar di daerah berkenaan setakat 30 Okt 2026… keupayaan anggota sedia ada ini boleh dipertimbangkan dalam perancangan bantuan sokongan di kawasan yang dikenal pasti memerlukan tindakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement