Skip to main content

Malaysia

Wan Ahmad Dahlan bersara selepas lebih 31 tahun tabur bakti dalam perkhidmatan awam

Selepas lebih 31 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz hari ini menamatkan tugasnya sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) ke-27 dengan meninggalkan pelbagai legasi pembaharuan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). - Foto Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam
Selepas lebih 31 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz hari ini menamatkan tugasnya sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) ke-27 dengan meninggalkan pelbagai legasi pembaharuan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). - Foto Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam

Ringkasan AI

  • Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menamatkan tugas sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ke-27 selepas lebih 31 tahun berkhidmat.
  • Beliau dikenang atas pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025.
  • Wan Ahmad Dahlan menyeru penjawat awam memperkukuh perkhidmatan agar setanding negara maju dan memastikan dasar berpaksikan rakyat.
Advertisement

PUTRAJAYA: Selepas lebih 31 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz hari ini menamatkan tugasnya sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) ke-27 dengan meninggalkan pelbagai legasi pembaharuan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Memulakan perkhidmatan pada 25 Jan 1995, Wan Ahmad Dahlan melaksanakan pelbagai pembaharuan utama sepanjang menerajui JPA antaranya Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), yang menstruktur semula sistem saraan dan laluan kerjaya pegawai awam. 

Dalam sidang media pada Majlis Lambaian Bakti di sini hari ini, beliau berkata kejayaan pelaksanaan SSPA adalah perkara yang membanggakan kerana ia menuntut keseimbangan antara kehendak penjawat awam dengan kemampuan kewangan kerajaan.  

Advertisement

"Saya juga bersyukur kerana di setiap penempatan saya, saya memiliki pasukan yang sangat hebat sama ada di Istana Negara, Kementerian Dalam Negeri, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan JPA. 

“Yang paling mengesankan saya ialah kejayaan saya dan pasukan JPA menyelesaikan sistem saraan baharu iaitu SSPA. Kepuasan bagi saya adalah apabila kita berjaya mengadakan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867),” katanya.

Advertisement

Wan Ahmad Dahlan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan untuk mengemudi perkhidmatan awam yang memiliki kira-kira 1.5 juta ahli.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk kita menyantuni kehendak-kehendak setiap skim yang ada dalam perkhidmatan awam. 

“Dengan adanya pasukan yang hebat di JPA, perkara itu dapat kita tangani dengan sebaik mungkin. Jadi terima kasih kepada semua,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan turut menyeru warga perkhidmatan awam untuk terus memperkukuh perkhidmatan awam negara setanding negara maju, di samping memastikan setiap dasar yang digubal sentiasa berpaksikan rakyat agar manfaatnya benar-benar dirasai di peringkat akar umbi.

Terdahulu, beliau mengimbas perakam waktu buat kali terakhir pada kira-kira 5.50 petang sebagai simbolik menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim serta barisan pengurusan tertinggi dan warga JPA.

Wan Ahmad Dahlan yang sebelum ini pernah memegang jawatan Ketua Pengarah ICU Jabatan Perdana Menteri dilantik sebagai KPPA berkuat kuasa 9 Jan 2024.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Komunikasi (Kepujian) daripada Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia serta Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan daripada Universiti Malaya.

Wan Ahmad Dahlan mula menyertai perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan pada 25 Jan 1995 dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara serta di JPA.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement