KUALA LUMPUR: Pelaburan langsung domestik (DDI) kekal sama pentingnya kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) walaupun tumpuan diberikan kepada pelaburan langsung asing (FDI) yang semakin pulih sejak pandemik COVID-19.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sebenarnya, DDI telah memainkan peranan yang sama dalam memastikan kesejahteraan firma dan usahawan tempatan dan dalam menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia.

"Dari tahun 2013 hingga suku pertama 2023, RM1.37 trilion DDI telah diluluskan, diterajui oleh sektor perkhidmatan dengan kira-kira RM1 trilion (RM1.0043 trilion atau 73.3 peratus), manakala sektor pembuatan menerima RM291. 8 bilion (21.3 peratus) dan sektor utama, RM73.9 bilion (5.4 peratus).

"Kebanyakan daripada pelaburan ini, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan telah memupuk inovasi dan meningkatkan daya saing global Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran skim Pembiayaan Peluang Kedua Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata bagi pembuatan, perkhidmatan terpilih dan sektor utama di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sejumlah 9,976 projek milik Malaysia telah diluluskan dengan pelaburan bernilai RM408 bilion dan ia mewujudkan hampir 490,000 (489,561) pekerjaan.

Dalam menyedari kepentingan DDI kepada KDNK, beliau berkata MITI bersama agensi penggalakan pelaburan utama Malaysia, MIDA telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk mewujudkan ekosistem perindustrian domestik kukuh dan menggalakkan pelaburan domestik.

Menurutnya Program Penyelarasan Rantaian Bekalan, MIDA mengintegrasikan syarikat tempatan ke dalam rantaian bekalan MNC dan LLC yang keupayaan teknologinya dimanfaatkan oleh syarikat domestik untuk meningkatkan daya saing mereka, contohnya MIDA-Perodua Digital Transformation Ecosystems (DTE), katanya.

"Kedua, SME Desk MIDA yang beroperasi sebagai'pusat sehenti yang komprehensif menawarkan khidmat nasihat yang tidak ternilai berkaitan dengan kemudahan kerajaan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Pada tahun 2022, hampir 1,200 PKS menggunakan platform ini, berfungsi sebagai pemangkin kepada PKS untuk mengatasi cabaran, merebut peluang dan berkembang maju dalam landskap perniagaan yang berkembang pesat hari ini.

"Ketiga, kerajaan juga telah memperkenalkan Dana Intervensi Industry4WRD, berperanan untuk menyokong PKS Malaysia dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan bagi mengguna pakai teknologi Industri 4.0," katanya.

Setakat 31 Mei 2023, Tengku Zafrul berkata sebanyak 335 projek PKS berjumlah RM123 juta telah diluluskan di bawah Dana Intervensi Industry4WRD.

"Menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), kami memberikan penekanan yang sama kuat untuk meningkatkan pelaburan domestik kerana kami mengiktiraf sumbangan penting DDI kepada ekonomi.

"Sehubungan itu, NIMP2030 juga bertujuan untuk memudahkan pertumbuhan, daya saing dan penyertaan syarikat tempatan dalam sektor nilai tambah yang lebih tinggi dengan meningkatkan kerumitan keseluruhan produk industri pembuatan kami, industri teknologi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bertenaga secara digital, memudahkan mencapai sasaran sifar bersih karbon negara, menjaga keselamatan ekonomi dan keterangkuman syarikat-syarikat berkenaan," katanya.

Menerusi NIMP2030 yang dimuktamadkan oleh MITI, kementerian mahu mewujudkan persekitaran yang menggalakkan pemindahan faedah FDI ke dalam ekonomi domestik dan merangsang DDI, kata Tengku Zafrul.

"Hubungan antara FDI dan DDI jarang berlaku dengan sendirinya. Tanpa dorongan dasar yang sesuai untuk mempertingkatkan hubungan sedemikian, FDI boleh berakhir dengan beroperasi sebagai 'enklaf' atau terpencil dalam ekonomi Malaysia," katanya.

Beliau berkata salah satu pemboleh utama untuk semua ini adalah untuk merangka dan menggerakkan ekosistem pembiayaan yang lebih inovatif dan inklusif untuk perniagaan domestik dan PKS untuk terus hidup, berkembang maju dan mendapat manfaat daripada ekosistem FDI itu.

-- BERNAMA