Hadiah wang tunai RM300,000 selain sebuah piala dan sijil menanti pemenang yang berjaya merangkul Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan (AIPK) 2012.

Menurut pegawai urusetia AIPK 2012 Norhaslinda Sani anugerah yang diperkenalkan mulai 2010 itu bertujuan mengiktiraf agensi kerajaan yang berjaya menghasilkan inovasi dalam pengurusan kewangan.

"Inovasi ini seharusnya dapat memberi manfaat yang nyata kepada rakyat atau nilai awam dan memberi nilai tambah kepada keadaan sedia ada," katanya semasa memberi taklimat AIPK 2012 di sini Jumaat.

Katanya inovasi pengurusan kewangan yang akan diambil kira merangkumi pengurusan belanjawan, perbelanjaan, perolehan, hasil, aset dan stor, kumpulan wang amanah, akaun amanah, kawalan dalaman, pengauditan dan pengurusan risiko.

Agensi kerajaan persekutuan atau negeri serta pihak berkuasa tempatan yang ingin menyertai penilaian untuk anugerah ini boleh memuat turun borang permohonan melalui laman web www.treasury.gov.my.