KUALA LUMPUR: Mengurangkan kadar kemiskinan negara menjadi antara salah satu bidang keutamaan yang akan digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata menangani kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup individu yang tertindas adalah nilai murni yang wajar dilaksanakan oleh setiap lapisan masyarakat.

Bercakap pada International Forum on New Inclusive Asia 2021, Mustapa berkata pandemik COVID-19 telah membuka mata semua pihak dalam memastikan isu kemiskinan ditangani secara holistik.

"Ini menyedarkan kita, sebagai pembuat dasar untuk lebih ke hadapan dan melaksanakan reformasi dan polisi yang sepatutnya untuk menangani kemiskinan dan menambah baik kehidupan orang di sekeliling kita yang tidak bernasib baik ini.

"China berjaya mencapai sasaran menangani kemiskinan yang ditetapkan dalam Agenda Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030, 10 tahun lebih awal.

"China memberi contoh kepada dunia terutama kepada negara membangun berkenaan dasar ekonomi dan sosial mampu mengeluarkan ratusan juta individu keluar dari kemiskinan.

"Mesejnya jelas, sekiranya China mampu, kita juga mampu," katanya.

Beliau memaklumkan, isi rumah miskin di Malaysia dijangka meningkat kepada 640,000 pada 2020 berbanding 405,000 pada 2019.

Peratusan rakyat Malaysia yang hidup di bawah paras kemiskinan meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4 peratus pada 2020 - antaranya disebabkan kesan ekonomi terhadap usaha menentang pandemik COVID-19.

Di peringkat global, data Bank Dunia menunjukkan 120 juta individu kini hidup dalam kemiskinan akibat pandemik COVID-19 di mana angka itu dijangka meningkat kepada 150 juta pada penghujung tahun ini.


RMK-12 | Tangani isu kemiskinan antara agenda utama