RANCANGAN Malaysia ke-12 (RMK-12) yang bakal dibentangkan seharusnya memberi fokus terhadap pemulihan iklim ekonomi perniagaan dengan penggubalan dasar-dasar membantu memperkasa agenda Bumiputera dan menjaga kepentingan mereka dengan melaksanakan inisiatif yang memberi fokus kepada kelangsungan bagi setiap sektor mahupun industri.

Pembangunan ekonomi Bumiputera seharusnya diberi penekanan dengan peruntukan skala serta peratusan yang lebih besar dan bersasar.

Peruntukan yang perlu diagihkan dalam agenda bumiputera khususnya untuk pendidikan dan perniagaan mereka.

Impak yang dibawa pandemik COVID-19 menyaksikan banyak perniagaan terutamanya Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan PKS mikro Bumiputera terpaksa gulung tikar dan menanggung kerugian besar malah ada yang terpaksa berhutang sekali gus mengakibatkan kadar pengangguran yang tinggi.

Pembentangan RMK-12 kali ini perlu lebih memberi fokus terhadap bagaimana merangka pelan strategik baharu yang lebih bersifat komprehensif dan inovatif bagi memperkasa dan menyokong kelangsungan sektor yang melibatkan Bumiputera.

Ini penting kerana perancangan lima tahun ke hadapan selepas ini sangat kritikal terutamanya ketika kita sedang menuju ke arah pemulihan akibat daripada COVID-19.

Pinjaman dan biasiswa pendidikan kepada Bumiputera bagi memperoleh pendidikan dan kepakaran sektor perniagaan dan sektor lain amat diperlukan bagi melahirkan Bumiputera yang profesional dan tenaga kerja mahir.

Kita dapat melihat ketidakseimbangan rangkaian ekosistem pelbagai sektor berkemahiran yang melibatkan Bumiputera.

Peratusan peruntukan biasiswa dan pinjaman kepada mereka juga perlu lebih dipertingkatkan agar mereka mendapat peluang yang lebih cerah bagi membantu memacu ekonomi Bumiputera dan negara.

Kitaran ekonomi Bumiputera juga perlu dirancakkan dengan menyalurkan bantuan dan pinjaman secara terus kepada peniaga bumiputera serta golongan rentan tanpa sebarang kerenah birokrasi.

Bagi merealisasikan agenda Bumiputera, setiap perolehan atau tender yang ditawarkan oleh kerajaan perlu dibahagikan mengikut peratusan yang lebih kepada Bumiputera.

Sistem tender juga perlu lebih terbuka dan telus bagi mengelakkan ketirisan serta sistem mendahulukan kroni.

Berbalik kepada soal ekonomi, perhatian khusus juga perlu diberi kepada Bumiputera bagi meraih peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Selain itu, kerajaan perlu menyediakan kuota khas bagi tenaga kerja bumiputera bersaing mengisi kekosongan tenaga kerja.

Usaha ini perlu turut dipikul sektor swasta bagi mewujudkan peluang pekerjaan profesional dan berkemahiran tinggi serta perniagaan yang lebih banyak kepada graduan Bumiputera di pasaran.

Mengambil kira keadaan ekonomi semasa, kaum Bumiputera sangat terdedah kepada kejutan ekonomi negatif seperti pengangguran disebabkan kemelesetan ekonomi terutamanya ketika negara di kala dan pasca pandemik COVID-19.

Jurang agihan pendapatan Bumiputera adalah besar dan sumber kewangan yang terhad berbanding kaum lain.

Justeru itu, polisi membantu golongan Bumiputera adalah perlu bagi menyeimbangi kedudukan sosio-ekonomi kerana komposisi kaum Bumiputera mencapai hampir 70 peratus di negara ini.

Ini juga bagi meningkatkan taraf kehidupan kaum Bumiputera B-40 yang mencapai 70 peratus daripada keseluruhan peratusan bumiputera di Malaysia.


* Artikel ini daripada Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad dan juga Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin.

** Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi berdasarkan pemerhatian profesional penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.