Fan Bingbing menyerlah di Festival Filem Tokyo, puji profesionalisme kru produksi Mother Bhumi

Fan Bingbing (foto) memuji pengalaman bekerja dalam filem Mother Bhumi arahan Chong Keat Aun, menyifatkannya sebagai kolaborasi yang menyegarkan dan penuh semangat. -Gambar fail/Instagram bingbing_fan
TOKYO: Aktres antarabangsa Datuk Fan Bingbing mungkin telah berlakon banyak filem dari seluruh dunia, namun pengalaman terbaharunya bekerja dalam filem Mother Bhumi yang diarahkan dan diterbitkan oleh anak Malaysia, dilihat memberi kesan mendalam terhadapnya.
Ringkasan AI
- Aktres China Datuk Fan Bingbing memuji pengalaman bekerja dalam filem Mother Bhumi arahan Chong Keat Aun, menyifatkannya sebagai kolaborasi yang menyegarkan dan penuh semangat.
- Fan melakonkan watak pesawah dan bomoh komuniti Siam Malaysia, dan kagum dengan dedikasi kru produksi serta pendekatan kreatif pengarah tempatan.
- Filem Mother Bhumi mencipta sejarah apabila dicalonkan dalam enam kategori utama di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-38, termasuk Pelakon Wanita Terbaik dan Filem Terbaik.
Fan yang dicalonkan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem itu, berkata bekerjasama dengan kru produksi Malaysia merupakan satu perubahan yang menyegarkan.
Bintang filem terkenal namun masih merendah diri ini yang melakonkan watak pesawah dan bomoh daripada komuniti Siam Malaysia, turut memuji dedikasi dan semangat pasukan yang mendorongnya untuk memberikan persembahan terbaik ketika di set penggambaran.
"Amat jarang dapat menemukan kerjasama berpasukan sehebat itu. Setiap orang saling mempercayai dan menghormati, dan itulah yang membuatkan hari-hari di set penggambaran begitu bermakna," katanya.
Pemenang Pelakon Wanita Terbaik TIFF 2010 menerusi filem Buddha Mountain yang terus memperluas horizon kreatifnya merentasi Asia, berkata pengalaman itu juga membuka matanya terhadap perkembangan bakat dalam industri filem Malaysia.
"Terdapat begitu banyak potensi di Malaysia, dari segi kreativiti, etika kerja dan semangat. Saya benar-benar percaya pembikin filem Malaysia mampu mencipta nama di pentas antarabangsa," katanya.
Beliau turut meluahkan kekagumannya terhadap pengarah filem Chong Keat Aun, terutama dari segi pendekatan kreatif dan daya kepimpinannya semasa penggambaran.
"Beliau seorang pengarah yang hebat untuk kita bekerjasama," kata Fan, menambah beliau gembira sekiranya dapat bekerjasama lagi dengan pengarah itu di masa akan datang.
Sementara itu, Chong memuji dedikasi pelakon antarabangsa tersebut yang sanggup datang lebih awal ke Malaysia bagi mempelajari bahasa tempatan, berinteraksi dengan kerbau, menguasai teknik pertanian serta memahami upacara ritual dalam bahasa Siam demi mempersembahkan wataknya dengan lebih autentik.
"Secara peribadi sebagai seorang pengarah, saya amat berharap Fan akan memenangi anugerah pelakon terbaik. Komitmen dan usahanya sebagai pelakon sangat memberi inspirasi, luar biasa dan saya amat berpuas hati dengan hasil diberikan" kata beliau.
Menerima maklum balas yang baik, termasuk sorakan gemuruh penonton ketika tayangan filem tersebut di TIFF ke-38, anak kelahiran Kedah itu berharap usahanya dapat mengangkat kisah komuniti luar bandar Malaysia yang kurang dikenali, sekali gus memberi penghormatan kepada budaya tempatan di peringkat antarabangsa.
"Melalui filem ini saya ingin penonton merasai kehidupan sebenar masyarakat kampung, memahami tradisi mereka serta menghargai warisan budaya yang unik di Malaysia," katanya.
Filem Mother Bhumi arahan Chong, mencipta sejarah selepas terpilih sebagai antara 15 filem terbaik untuk pertandingan utama TIFF ke-38 yang berlangsung sejak 27 Okt lalu hingga 5 Nov ini.
Tayangan perdana karya Malaysia itu berlangsung pada 27 Okt lepas selain turut ditayangkan beberapa kali lagi sepanjang festival. Mother Bhumi dicalonkan dalam enam kategori, iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Seni Wayang Terbaik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


