BISNES
RMK13 dijangka lonjak kedudukan Malaysia dalam indeks rasuah, daya saing global

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan buku Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) selepas membentangnya di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Langkah menambah baik tatakelola dan memperkukuh tadbir urus menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menyumbang secara langsung kepada pencapaian aspirasi Kerajaan MADANI untuk meletakkan Malaysia di tangga 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Ringkasan AI
- Sasaran Tadbir Urus & Integriti: RMK13 bertujuan memperkukuh integriti, akauntabiliti dan kecekapan perkhidmatan awam untuk melonjakkan kedudukan Malaysia dalam CPI (Top 25) dan IMD (Top 12).
- Pengurusan Fiskal & Pemantauan Prestasi: Fokus kepada pengurangan defisit fiskal (<3%), kawalan hutang (<60% KDNK), serta pelaksanaan sistem pemantauan MyRMK yang diselaraskan dengan agensi utama.
- Reformasi Perkhidmatan Awam & Kawal Selia: Akta ILTIZAM 2025 dan strategi kawal selia seperti Dasar Satu Masuk-Satu Keluar diperkenalkan untuk mempertingkatkan kecekapan dan mengurangkan beban pentadbiran.
Antara usaha penambahbaikan itu ialah inisiatif di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 dan Pasukan Petugas Khas CPI akan dipergiat untuk menangani isu rasuah dan menambah baik kedudukan negara dalam CPI.
"Peranan Unit Integriti akan turut diperkasakan untuk membanteras gejala rasuah dalam sektor awam dengan penekanan kepada inisiatif berasaskan pendekatan behavioural insights ke arah membentuk penjawat awam yang berintegriti dan bertanggungjawab," menurut dokumen itu.
Mekanisme pemantauan dan penilaian prestasi kementerian juga akan diperkemas melalui pengenalan petunjuk keberhasilan diselaraskan dengan indikator ekonomi makro terpilih dan pelaksanaan pelaporan secara terus kepada Perdana Menteri.
"Kaedah pemantauan dan struktur tadbir urus RMK13 yang menyeluruh akan ditambah baik melalui pembangunan sistem pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar RMK13 iaitu MyRMK.
"Sistem ini akan diselaraskan dengan sistem pemantauan lain, seperti di bawah Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Unit Pantau MADANI (PMU), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Pusat SDG Negara (PSN)," menurut dokumen itu.
Prestasi RMK13 turut akan dipantau pada peringkat tertinggi sehingga ke Jemaah Menteri bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam pelaksanaan program dan projek pembangunan.
Bagi mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, dokumen itu menyatakan usaha akan dipergiat bagi mengurangkan beban kawal selia, memperkukuh tadbir urus dan keupayaan bakat sektor awam serta menstruktur semula institusi melalui Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (ILTIZAM).
"Semakan mandatori ke atas instrumen kawal selia secara berkala dan bertempoh serta Dasar Satu Masuk-Satu Keluar akan dilaksana bagi memastikan keberkesanan instrumen.
"Penggunaan garis panduan pengurangan beban kawal selia juga akan digalakkan untuk diterima pakai pada peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan," menurut dokumen berkenaan.
Mengenai pengurusan fiskal, dokumen itu menjelaskan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) akan diguna pakai dalam pengurusan kewangan awam dengan kutipan hasil kerajaan ditambah baik melalui pelaksanaan sistem invois elektronik secara berperingkat sehingga 2026 bagi meningkatkan pendigitalan kutipan cukai.
"Di samping itu, peluasan asas hasil cukai di bawah Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) seperti perlaksanaan cukai global minimum (GMT) serta semakan berkala cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan dilaksana bagi membolehkan penyediaan lebih banyak kemudahan dan bantuan untuk kesejahteraan rakyat," menurut dokumen itu.
Antara lain, kecekapan perbelanjaan akan ditambah baik melalui pelaksanaan subsidi dan bantuan yang lebih bersasar serta pengurusan hutang yang lebih berhemat, selain mekanisme kawalan kos akan ditambah baik dengan mengambil kira elemen utama dalam pengiraan kos termasuk kos kitaran hayat.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami