BISNES
RMK13 fokus tingkat pendapatan negara dan rakyat selari kerangka Ekonomi MADANI - Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal dibentangkan akan memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan pendapatan negara dan rakyat.
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal dibentangkan pada Khamis akan memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan pendapatan negara dan rakyat secara menyeluruh seiring dengan prinsip MADANI.
Ringkasan AI
- RMK13 akan memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pendapatan negara dan rakyat secara menyeluruh selaras dengan prinsip Ekonomi MADANI melalui pendekatan -raising the ceiling and raising the floor-.
- Tumpuan turut diberikan kepada pembangunan sektor industri hiliran yang berasaskan nilai tambah dan penciptaan nilai, dengan perincian akan dibentangkan secara rasmi.
- RMK13 dijangka menjadi platform utama kerajaan memperkenalkan dasar gaji progresif yang lebih realistik, seiring dengan bebanan kos sara hidup rakyat.
"Maksudnya, melalui perancangan lima tahun ke depan, kita berhasrat untuk meningkatkan pendapatan negara dan juga pendapatan rakyat,” katanya ketika sidang media Persidangan Ketersambungan Antarabangsa di sini, hari ini.
Jelasnya, tumpuan turut akan diberikan kepada pembangunan sektor-sektor industri yang berasaskan nilai tambah dan penciptaan nilai, khususnya dalam bidang industri hiliran.
“Fokusnya adalah kepada sektor hiliran. Ini secara umum, tetapi perinciannya akan diketahui setelah ia dibentangkan esok,” ujarnya lagi.
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan pada 31 Julai ini dijangka memberi penekanan kepada langkah rangsangan ekonomi berbanding pendekatan penjimatan.
Malah, RMK13 dijangka menjadi platform utama untuk kerajaan memperkenalkan dasar gaji progresif, menetapkan kadar gaji yang lebih realistik seiring bebanan kos sara hidup.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan, Malaysia masih belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung cadangan beberapa negara Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai tadbir urus baharu untuk Palestin.
“Setakat ini, Jemaah Menteri belum membincangkan isu tersebut. Mungkin selepas mesyuarat pada hari Jumaat ini, ia akan dibawa ke perhatian Kabinet.
“Biasanya, isu-isu seperti ini akan dibawa oleh Wisma Putra untuk perbincangan bersama menteri-menteri,” jelasnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami