Skip to main content

Malaysia

29 pelajar, murid rentas sempadan secara haram boleh didakwa

PASIR MAS, 12 April -- Seramai 34 pelajar yang dikesan memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan di Pengkalan Haram Pohon Jambu, Rantau Panjang dekat sini pagi tadi ditahan bagi menjalani proses dokumentasi.
Menurut Mohd Yusoof, tindakan untuk mendakwa pelajar terbabit tertakluk kepada keputusan pihak pendakwa raya manakala polis hanya menjalankan tangkapan dan siasatan. - Gambar fail/Bernama

KOTA BHARU: Pelajar dan murid berusia lebih 10 tahun yang ditahan kerana merentas sempadan secara haram di Rantau Panjang dua hari lepas boleh dikenakan tindakan pendakwaan di mahkamah, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau bagaimanapun berkata tindakan itu tertakluk kepada keputusan pihak pendakwa raya manakala polis hanya menjalankan tangkapan dan siasatan.

Advertisement

Mohd Yusoff berkata dalam kes berkenaan, sebanyak 29 daripada 34 pelajar yang ditahan dikenal pasti berusia lebih 10 tahun dan boleh didakwa.

“Setakat ini mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.

“Walaupun tindakan itu dilihat tegas kerana melibatkan pelajar, pihaknya tidak boleh berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang dan isu keselamatan negara,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum ini terdapat kes pihak tidak bertanggungjawab menggunakan pelajar sekolah untuk membawa dadah, justeru penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara tegas.

Selain itu, pelbagai kemudahan telah disediakan termasuk asrama dan pembukaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan lebih awal bagi memudahkan pergerakan pelajar melalui laluan sah.

Siasatan juga mendapati antara faktor rentas sempadan secara haram ialah kos lebih murah menggunakan perahu, iaitu sekitar RM4 berbanding RM10 melalui laluan sah.

Mohd Yusoff berkata kejadian itu dipercayai turut bertujuan menguji ketegasan pihak berkuasa selepas penutupan laluan haram di sepanjang Sungai Golok pada akhir 2024.

“Jika kami berlembut, mereka mungkin akan mengulangi perbuatan itu,” katanya.

Pada Ahad lepas, Bernama melaporkan kesemua 34 pelajar warga Thailand yang dikesan memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan di sebuah pangkalan haram dekat Rantau Panjang di sini, ditahan bagi menjalani proses dokumentasi.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am SAC Ahmad Radzi Hussain dilaporkan berkata kesemua pelajar berkenaan belajar di sebuah sekolah menengah dan dua sekolah rendah, termasuk sekolah agama melibatkan 22 perempuan dan 12 lelaki berusia antara tujuh hingga 16 tahun.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video