BISNES
RMK13 perlu cipta nilai, bukan hanya belanja – Amir Fareed

Menurut Amir Fareed, RMK13 perlu cipta nilai ekonomi, reformasi gaji & atasi kos sara hidup agar manfaat dirasai rakyat di semua peringkat. – Foto Amir Fareed
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu melangkaui kerangka pemulihan pasca pandemik dan memberi tumpuan kepada penciptaan nilai ekonomi, reformasi struktur gaji serta penyelesaian menyeluruh terhadap tekanan kos sara hidup rakyat.
Ringkasan AI
- RMK13 perlu cipta nilai ekonomi sebenar, bukan sekadar pertumbuhan angka melalui pelaburan strategik seperti 5G, AI dan semikonduktor.
- Gaji rakyat tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup, walaupun inflasi kekal dalam julat sasaran RMK12.
- Fokus RMK13 ialah reformasi sistem gaji dan tenaga buruh, terutama dalam sektor upah rendah untuk tingkat daya beli dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian dalam temubual khas Rancangan Malaysia Ke- 13 di Astro AWANI pada Khamis.
Beliau turut memberi contoh pelaburan kerajaan dalam pembangunan sistem 5G yang bukan sahaja memperluas rangkaian digital, tetapi turut menarik pelaburan pusat data dan mendorong pembangunan industri bernilai tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
“Apabila ekonomi mencipta nilai, ia membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Seterusnya, gaji meningkat, daya beli rakyat meningkat dan kelas menengah berkembang,” tambahnya.
Gaji tidak naik, harga barang melambung
Dalam pada itu mengulas cabaran semasa, Amir menegaskan bahawa isu sebenar yang membelenggu rakyat bukan semata-mata inflasi, tetapi pendapatan yang tidak bergerak selari dengan kenaikan kos barangan asas.
“Inflasi purata RMK12 berada dalam sasaran sekitar 2.5 peratus, tetapi realitinya, rakyat masih merasai beban. Ini kerana gaji statik, tapi harga makanan naik,” katanya.
Beliau turut menggesa agar RMK13 memberi fokus kepada reformasi sistem buruh, terutamanya dalam sektor upah rendah seperti pembuatan — di mana gaji median masih sekitar RM2,000.
“Kita harap RMK13 akan merombak struktur ini. Kalau ikut sasaran NIMP 2030, median gaji sektor pembuatan sepatutnya capai RM4,510. Jadi bagaimana kita nak ke arah itu?” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami