KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) melantik Datuk Roger Tan Kor Mee dan Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad sebagai dua anggota baharu Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berkuat kuasa Rabu lepas hingga 7 Jun 2025.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Tan yang merupakan peneraju Tetuan Roger Tan and Partners serta ahli Majlis Peguam, tidak asing dalam perkhidmatan awam dengan berkhidmat sebagai perunding luar untuk kerajaan Johor dan kerajaan Persekutuan dalam suatu tempoh yang panjang.

“Wan Kamaruzaman pula pernah berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah beberapa entiti korporat utama di Malaysia, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan kini seorang daripada anggota Panel Pelaburan bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Fauziah Yaacob atas sumbangan mereka sepanjang menjadi anggota suruhanjaya sejak 2016,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Selain itu, Wee turut memaklumkan Datuk Seri Long See Wool turut dilantik semula menganggotai suruhanjaya itu berkuat kuasa 1 Mac lepas hingga 28 Feb 2025.

Beliau berkata Long yang telah berkhidmat lebih 34 tahun dan pernah menjawat jawatan Ketua Setiausaha MOT mula berkhidmat sebagai anggota suruhanjaya sejak 2016.

Wee turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meluluskan pelantikan anggota suruhanjaya baharu itu.

“Kami mengucapkan tahniah dan mendoakan pelantikan mereka dapat membangunkan industri penerbangan ke tahap lebih tinggi di dalam usaha ke arah pemulihan ekonomi,” katanya. - DagangNews.com