Skip to main content

Bisnes

Roscongress perluas platform kerjasama antarabangsa di SPIEF 2026

 Roscongress
Roscongress pertingkat kerjasama global melalui SPIEF 2026, jadi hab utama jaringan perniagaan dan rundingan antarabangsa merentas rantau. - Foto Roscongress

ST PETERSBURG: Roscongress Foundation akan terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu kerjasama antarabangsa menerusi penganjuran semula Roscongress International Cooperation Area sempena St Petersburg International Economic Forum (SPIEF) 2026 yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 6 Jun ini.

Platform yang diperkenalkan pada 2025 itu kini berkembang sebagai ekosistem penting yang menghubungkan kerajaan, perniagaan dan komuniti pakar dari pelbagai negara. 

Tahun ini, kawasan khas tersebut akan ditempatkan di Pavilion E, berhadapan pavilion negara jemputan, Arab Saudi, dengan kemudahan termasuk ruang pameran rakan strategik, bilik rundingan, zon santai terbuka serta ruang pembentangan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Lembaga Roscongress Foundation, Alexander Stuglev, berkata kejayaan edisi terdahulu membuktikan kepentingan platform itu sebagai hab dialog antarabangsa yang praktikal.

“Di sinilah perniagaan antarabangsa bukan sekadar berbincang, tetapi melaksanakan rundingan, memeterai kerjasama dan memulakan projek baharu,” katanya.

Antara rakan strategik utama tahun ini termasuk Majlis Perniagaan Rusia–ASEAN, Majlis Perniagaan Rusia-Thailand, rangkaian media TV BRICS dan Tanzania Investment and Special Economic Zones Authority (TISEZA). 

Hubungan dengan ASEAN terus menjadi fokus utama, selari dengan ulang tahun ke-35 hubungan Rusia-ASEAN pada tahun ini, dengan pelbagai inisiatif termasuk penganjuran forum perniagaan dan kerjasama serantau sedang dirangka.

Dalam masa sama, kerjasama dengan TV BRICS akan diteruskan menerusi studio media khas di acara tersebut, yang memberi peluang kepada pemimpin industri dan pegawai kerajaan menyampaikan pandangan kepada audiens antarabangsa.

Sementara itu, penyertaan TISEZA sebagai rakan baharu mencerminkan pengukuhan hubungan Rusia-Afrika, susulan penganjuran Forum Perniagaan dan Pelaburan Rusia–Tanzania pada Mei 2026 yang dilihat memberi momentum baharu kepada kerjasama dua hala.

Secara keseluruhan, Roscongress International Cooperation Area dijangka terus menjadi platform utama bagi memudahkan jaringan kerjasama, mempercepat rundingan serta membuka peluang perniagaan merentas pasaran global termasuk Asia, Afrika dan Asia Barat.

 

 

Must Watch Video

Advertisement