KUALA LUMPUR: Prospek pasaran hartanah Malaysia untuk 2024 dilihat kukuh untuk segmen rumah bertanah kerana ia kekal sebagai pilihan utama para pembeli terutamanya bagi projek yang menawarkan unit pada harga berpatutan, menurut Rahim & Co Research Sdn Bhd.

Berdasarkan kenyataan firma penyelidikan itu dalam pelancaran laporan tahunan hartanahnya bertajuk 'Property Market Review 2023/2024', bagi pembangunan bertingkat, nilai-tambah stesen transit dalam projek-projek Transit-Oriented-Development (TOD) akan terus menjadi tarikan kepada pembeli dan pelabur.

"Pembeli dan penghuni rumah dewasa ini, terutamanya dalam kalangan belia, tertarik dengan penawaran pembangunan bersepadu yang lengkap dengan kemudahan yang pelbagai.

"Walaupun isu kemampumilikan masih membelenggui pasaran, paras permintaan hartanah kediaman dijangka akan kekal dominan - tetapi lanskap pasaran akan terus berubah daripada segi harga, rekabentuk dan lokasi, katanya dalam satu kenyataan.

Cabaran pemilikan rumah juga telah memupuk pertumbuhan dalam pasaran sewa yang semakin menjadi pilihan arus perdana bagi warga kota, tambahnya.

Firma itu turut menyatakan kadar pertumbuhan yang sederhana pada tahun 2023 dijangka akan berlanjutan ke tahun 2024.

Pada masa sama, pasaran kini juga sedang mengimbangi semula suntikan tawaran baharu yang telah lama tertangguh, katanya lagi.

"Pemangkin-pemangkin lain seperti program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) yang disemak semula dan Akta Penyewaan Kediaman yang pernah dibahaskan berpotensi untuk meningkatkan permintaan untuk pasaran pembeli asing dan sektor sewaan pasaran hartanah

"Memandangkan pasaran hartanah adalah bersifat 'heterogenous' (berlainan), unik dan dinamik, peluang pertumbuhan bergantung kepada pelbagai faktor termasuk lokasi,

"Ada daripadanya yang merupakan kawasan 'hot-spot' yang lampau, kini berdaya untuk dihidupkan semula melalui penambahbaikan infrastruktur dan dasar pemangkin baharu," kata firma tersebut.

Tambahnya, ini termasuk projek infrastruktur yang sedang berjalan dan yang dicadangkan seperti Lebuhraya Pan-Borneo, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang berpotensi untuk mengukuhkan pertumbuhan dan peluang ekonomi tempatan serta menjana pertumbuhan pasaran hartanah.