Kerajaan negeri Sabah hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.784 bilion bagi Bajet Sabah 2017 bertemakan 'Rakyat Dijiwa, Kemakmuran Dinikmati'.

Ia merupakan bajet lebihan bagi tahun ketiga yang dibentangkan oleh kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, kutipan hasil Sabah pada 2017 dianggarkan sebanyak RM3.817 bilion manakala perbelanjaan 2017 dianggarkan RM3.784 bilion sekali gus, mencatat lebihan sebanyak RM32.83 juta.

Beliau berkata peruntukan bagi Bajet Sabah 2017 meningkat RM294.34 juta, atau 8.43 peratus berbanding bajet 2016 sebanyak RM3.490 bilion.

Bagi perbelanjaan pembangunan, kerajaan memperuntukan sebanyak RM1.18 bilion pada 2017, dan jumlah berkenaan merangkumi pembangunan projek negeri sebanyak RM828.48 juta dan peruntukan untuk persekutuan pula sebanyak RM360 juta, katanya semasa membentangkan Bajet Sabah 2017 di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Agihan peruntukan bagi tujuan pembangunan mengikut kementerian negeri pula, Musa berkata RM10 juta kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Infrastruktur (RM254.02 juta), Jabatan Ketua Menteri (RM189.25 juta), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (RM122.31 juta) serta Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna (RM6.32 juta).

Peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar pula sebanyak RM22.27 juta, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (RM17.2 juta), Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat (RM4.15 juta), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (RM173.22 juta), Kementerian Belia dan Sukan (RM15.35 juta) dan Kmenterian Pembangunan Perindustrian (RM14.39 juta).

Musa, yang juga Menteri Kewangan Sabah, berkata kutipan hasil pada 2017 dianggarkan berjumlah RM3.817 bilion, meningkat sebanyak 8.44 peratus, berbanding anggaran hasil 2016 yang berjumlah RM3.520 bilion.

Katanya daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.127 bilion adalah hasil cukai, RM2.263 bilion adalah hasil bukan cukai dan RM426.23 juta pula merupakan terimaan bukan hasil.

Beliau berkata pada 2017, hasil royalti petroleum daripada Petronas akan meningkat sebanyak 25 peratus berbanding 2016.

Kutipan hasil daripada bayaran royalti petroleum bagi 2017 dianggarkan sebanyak RM985 juta mengambil kira faktor dan pengeluaran petroleum, katanya. - BERNAMA