BISNES
Sabun pencuci tempatan Do’zee tembusi pasaran antarabangsa dengan produk premium

Muhammad Syukri memperkenalkan variasi produk Do’zee yang semakin mendapat sambutan di pasaran tempatan dan luar negara. - Gambar Do’zee
KUALA LUMPUR: Jenama penjagaan dan cucian pakaian tempatan, Do’zee terus melakar kejayaan apabila bukan sahaja menguasai pasaran domestik, malah kini menempatkan produknya di pentas antarabangsa termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand dan Brunei.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Do’zee, Datuk Muhammad Syukri Ibhrim, kekuatan jenama itu bermula daripada keyakinan terhadap kualiti produk buatan Malaysia yang mendapat tempat dalam kalangan pengguna tempatan sebelum melangkah ke pasaran global.
“Alhamdulillah perjalanan Do’zee ke pasaran antarabangsa adalah hasil daripada perancangan strategik dan keyakinan terhadap kualiti produk.
“Kami bermula dengan kajian pasaran teliti bagi memahami keperluan pengguna, membina rangkaian pengedar kukuh dan memastikan sabun Do’zee diterima baik, khususnya di Dubai,” katanya.Tambahnya, pasaran antarabangsa menuntut tahap penjenamaan dan penawaran produk premium.
Sehubungan itu, Do’zee bakal memperkenalkan varian baharu yang hadir dengan aroma eksklusif, kuasa pembersihan tinggi serta pembungkusan moden dan elegan bagi memenuhi citarasa pengguna luar negara.
“Di UAE, pembungkusan premium amat dititikberatkan kerana pengguna di sana menuntut kualiti tinggi.
“Kita tidak boleh memandang remeh aspek ini kerana ia menentukan penerimaan pasaran. Do’zee berhasrat bukan sekadar berada di Dubai, tetapi turut menembusi pasaran global pada masa depan,” ujarnya.

Produk pencuci Do’zee tampil dengan formulasi premium dan pembungkusan moden bagi menembusi pasaran global. - Gambar Do'zee
Bagi mengukuhkan kedudukan, Do’zee turut melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan, termasuk melancarkan produk baharu pada Oktober depan selepas melalui proses penambahbaikan dari segi formulasi dan pembungkusan.
“Strategi kami merangkumi dua aspek iaitu produk dan komunikasi jenama. Dari sudut produk, kami menawarkan formulasi premium dengan pembungkusan mewah.
“Dari segi pemasaran pula, kami mengetengahkan kisah jenama Malaysia yang berjaya menembusi pasaran global untuk membina hubungan emosi dengan pengguna,” jelas beliau.
Menyentuh cabaran, beliau mengakui keadaan ekonomi semasa menuntut Do’zee lebih kukuh di pasaran domestik, di samping mengekalkan daya saing di peringkat antarabangsa.
Namun kelebihan formula unik yang menggabungkan pencuci, pewangi, pelembut dan antibakteria memberi nilai tambah kepada produk Do’zee.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, insya-Allah Do’zee akan memperluas sayap ke serata dunia.
“Visi kami adalah memastikan jenama tempatan ini berdiri sama tinggi dengan produk antarabangsa dan menjadi kebanggaan Malaysia di pasaran global,” tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami