SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan menggagalkan cubaan menyeludup 9.238 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM476,180 ke Indonesia melalui Terminal Jeti Penumpang Port Dickson, di sini pada dua hari lepas.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata seorang lelaki warga Indonesia berusia 20-an dipercayai keldai dadah ditahan ketika membawa sebuah bagasi hitam bersaiz sederhana di terminal itu pada 9.30 pagi.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap bagasi itu menemukan ruang penyimpanan diubah suai dan digunakan untuk menyembunyikan enam bungkusan syabu seberat kira-kira lima kg bersama-sama pakaian.
“Susulan penahanan itu, kita menjalankan pemeriksaan di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur, iaitu penginapan suspek selepas tiba di Malaysia pada 4 Nov dan menemukan satu lagi bagasi mengandungi kira-kira 4.238 kg syabu.
“Suspek yang baru tamat pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi di Acheh datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan dan dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia semasa ditahan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Alzafny berkata suspek dipercayai memasuki Malaysia untuk kali pertama berdasarkan cap pada pasport, telah dihubungi seorang lelaki Indonesia yang berada di Malaysia dan ditawarkan membawa dadah ke negara asal dengan upah 30 juta rupiah (kira-kira RM6,777) bagi setiap penghantaran yang berjaya.
“Dia diberikan pilihan bekerja di kedai makan atau restoran atau mengambil risiko membawa dadah ke Indonesia. Polis percaya suspek akan kembali ke Malaysia untuk mengambil sebuah lagi bagasi jika penghantaran pertama berjaya,” katanya.
Alzafny berkata ujian saringan air kencing suspek didapati negatif selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis kini giat mengesan lelaki Indonesia yang dipercayai menjadi pembekal dadah itu yang dipercayai masih berada di Malaysia.
Beliau berkata operasi itu hasil risikan dan kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) susulan maklumat kegiatan penyeludupan dadah melalui laluan laut dari Malaysia ke Indonesia.
“Susulan maklumat diterima, saya mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) supaya menjalankan pemantauan ke atas feri beroperasi di terminal itu yang menyediakan laluan ke Dumai dan Tanjung Balai, Indonesia dengan dua perjalanan pergi dan balik setiap hari,” katanya.
-- BERNAMA