Skip to main content

Malaysia

Mesyuarat JKPIPB bincang strategi perkukuh sektor padi dan beras negara

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat yang dipengerusikan menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu itu meneliti tiga perkara utama, iaitu pembukaan kawasan penanaman padi baharu, persediaan menghadapi ketidaktentuan geopolitik global serta bantuan kepada pesawah menerusi Belanjawan 2027. - Foto Facebook KPKM
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat yang dipengerusikan menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu itu meneliti tiga perkara utama, iaitu pembukaan kawasan penanaman padi baharu, persediaan menghadapi ketidaktentuan geopolitik global serta bantuan kepada pesawah menerusi Belanjawan 2027. - Foto Facebook KPKM

Ringkasan AI

  • Mesyuarat JKPIPB membincangkan strategi memperkukuh sektor padi dan beras negara, termasuk pembukaan kawasan penanaman baharu dan persediaan menghadapi ketidaktentuan geopolitik.
  • KPKM meneliti bantuan kepada pesawah menerusi Belanjawan 2027, merangkumi sokongan, insentif dan bantuan bersasar untuk meringankan kos operasi serta meningkatkan produktiviti.
  • Pandangan pemain industri diambil kira bagi memastikan dasar dan pelan tindakan menyeimbangkan kebajikan pesawah, daya maju pengilang dan jaminan bekalan beras berkualiti.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara (JKPIPB) Bilangan 2 Tahun 2026 semalam membincangkan strategi mendepani cabaran semasa serta memperkukuh sektor padi dan beras negara.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat yang dipengerusikan menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu itu meneliti tiga perkara utama, iaitu pembukaan kawasan penanaman padi baharu, persediaan menghadapi ketidaktentuan geopolitik global serta bantuan kepada pesawah menerusi Belanjawan 2027.

Menurut KPKM, cadangan pembukaan kawasan baharu bertujuan meningkatkan pengeluaran beras dan Tahap Sara Diri (SSR) negara secara berperingkat menerusi peluasan kawasan penanaman padi berpotensi tinggi.

Advertisement

Perbincangan mengenai ketidaktentuan geopolitik pula tertumpu kepada strategi mitigasi awal bagi menangani kesan gangguan rantaian bekalan global, perubahan iklim dan turun naik harga input pertanian antarabangsa.

KPKM memaklumkan cadangan bantuan kepada pesawah menerusi Belanjawan 2027 merangkumi pakej sokongan, insentif dan bantuan bersasar bagi meringankan kos operasi pesawah serta meningkatkan produktiviti hasil padi.

Advertisement

Mesyuarat itu turut menghimpunkan pemain utama industri termasuk pesawah, pengeluar benih, pengilang, pemborong serta pengurusan tertinggi KPKM dan agensi berkaitan.

KPKM memaklumkan pandangan pemain industri penting bagi memastikan dasar dan pelan tindakan yang dirangka mengambil kira keperluan sebenar di lapangan, selain menyeimbangkan kebajikan pesawah, daya maju pengilang dan pemborong serta jaminan bekalan beras berkualiti pada harga berpatutan.

Menurut kenyataan itu, penglibatan berterusan pemain industri menjadi kunci utama dalam membina dasar yang kukuh dan berkesan.

“Syor dan maklum balas yang dibangkitkan dalam mesyuarat akan diperincikan oleh kementerian bagi menambah baik pelaksanaan inisiatif sedia ada serta memperkukuh perancangan masa hadapan. 

“KPKM yakin sinergi erat antara kerajaan dan seluruh rantaian industri berupaya memacu sektor padi dan beras negara ke arah ekosistem yang lebih moden, mampan dan berdaya saing,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement