Skip to main content

Bisnes

Saham IJM naik selepas penasihat syor pemegang saham tolak tawaran Sunway

71666137833_ijm.jpg
IJM dikatakan secara aktif sedang meninjau inisiatif bagi penghasilan nilai untuk tempoh dua tahun akan datang, termasuk penyenaraian cabang pembinaan, pengewangan lebuh raya tol yang matang ke dalam bentuk amanah selain keluar daripada pasaran India.

KUALA LUMPUR: Dagangan saham IJM Corporation Bhd meningkat pada tengah hari ini selepas penasihat bebas merumuskan tawaran pengambilalihan oleh Sunway Bhd pada RM3.15 sesaham sebagai tidak adil dan menyarankan pemegang saham menolak tawaran berkenaan.

Pada 11.09 pagi ini, harga saham menokok enam sen kepada RM2.38 dengan 1.74 juta saham saling berpindah tangan.

Advertisement

Menerusi nota penyelidikan hari ini, Hong Leong Investment Bank Bhd berkata penilaian tinggi yang diberikan serta kekangan lain adalah memadai untuk menghalang bakal pembeli di masa depan dan penilaian itu juga masih boleh dibincangkan.

“IJM secara aktif sedang meninjau inisiatif bagi penghasilan nilai untuk tempoh dua tahun akan datang, termasuk penyenaraian cabang pembinaan, pengewangan lebuh raya tol yang matang ke dalam bentuk amanah selain keluar daripada pasaran India,” katanya.

“Bagaimanapun, kami berpendapat prestasi pendapatan bagi tempoh terdekat yang kurang memberangsangkan, dijangka menyaksikan IJM diniagakan lebih rendah daripada penilaian penasihat bebas apabila aset melalui proses pusingan pembinaan,” menurutnya.

Selain itu, bank pelaburan berkenaan mengekalkan unjuran serta mencadangkan agar pemegang saham menerima tawaran Sunway dengan syarat memandangkan dalam julat munasabah berbanding harga sasaran (TP) sebelum ini pada RM3.40 sesaham.

“Pemegang saham juga boleh melanjutkan pelaburan mereka ke syarikat gabungan dan menikmati kenaikan seterusnya apabila sinergi itu secara beransur-ansur menjadi nyata,” menurutnya.

Dalam pada itu, CIMB Securities juga menyarankan pelabur untuk menunggu tawaran lebih baik berikutan cadangan terkini IJM membuka satu lagi laluan membuka nilai syarikat dengan potensi kenaikan melalui inisiatif pengurusan modal.

“Kami mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas IJM. Harga tawaran Sunway sebanyak RM3.15 adalah 10 peratus di bawah TP kami sebanyak RM3.50 sesaham,” menurutnya.

Kenanga Investment Bank Bhd pula mengekalkan saranan “tolak” berikutan tawaran itu pada asasnya hanya menilai rendah trajektori pertumbuhan IJM.

“Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan “outperform” manakala TP pada RM3.40 sesaham,” katanya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat lepas, IJM menyatakan telah melantik penasihat M&A Securities Sdn Bhd dan harga tawaran itu mewakili diskaun RM2.69 hingga RM3.33 atau diskaun sebanyak 46.1 peratus hingga 51.4 peratus berbanding nilai anggaran saham IJM pada RM5.84 hingga RM6.48.

Tawaran itu kekal dibuka untuk penerimaan sehingga tempoh 5 petang pada 6 April 2026.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video