KUALA LUMPUR: Harga saham IJM Corp Bhd menurun dalam dagangan awal pada Selasa manakala saham Sunway Bhd mencatatkan kenaikan sedikit berikutan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat Sunway Bhd luput selepas gagal memenuhi syarat memperoleh lebih daripada 50 peratus pegangan dalam IJM.
Terdahulu, dagangan sekuriti IJM Corp dan Sunway di Bursa Malaysia dihentikan dari 9 pagi hingga 10 pagi ini.
Advertisement
Setakat 10.45 pagi, Sunway menambah satu sen kepada RM5, dengan 868,200 saham diniagakan manakala IJM berkurangan lima sen kepada RM2.31 dengan 1,089,800 unit bertukar tangan.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berpendapat bahawa usaha pengambilalihan yang tidak berjaya oleh Sunway telah melanjutkan tempoh untuk merealisasikan nilai pelaburan bagi pemegang saham IJM Corp.
“Bagaimanapun, adalah difahami bahawa pemegang saham strategik IJM mungkin mengambil pandangan jangka panjang bagi potensi manfaat yang lebih tinggi berikutan kumpulan itu merancang melaksanakan pelbagai langkah untuk memanfaatkan nilai seperti dinyatakan dalam taklimat penasihat bebas sebelum ini.
“Ini termasuk pengewangan lebuh raya, penyenaraian cabang pembinaannya dan rasionalisasi portfolio India.
“Pada pandangan kami, walau apa pun, usaha pengambilalihan itu telah mewujudkan keperluan segera untuk pengurusan IJM mempercepat inisiatif penjanaan nilainya,” menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Katanya penyenaraian cabang pembinaan IJM secara berasingan memerlukan kumpulan itu menunjukkan pelaksanaan margin yang baik, meningkatkan pendedahan kepada pusat data dan prospek menerima pesanan baharu yang utuh.
Sementara itu, MBSB Investment Bank Bhd memaklumkan potensi kontrak untuk IJM dijangka daripada projek pusat data di Lembah Klang dan Johor, selain berpeluang meraih bahagian dalam projek infrastruktur utama, terutamanya pakej LRT Mutiara Line Pulau Pinang merentasi laut bernilai RM5-RM6 bilion, yang boleh meningkatkan prospek nilai perolehan kontrak dengan ketara.
-- BERNAMA