Sistem Penerbangan Malaysia Berhad, Malaysia Airlines mengumumkan yang ia telah menggantung saham syarikat tersebut daripada diniagakan di Bursa Malaysia Isnin dalam satu pelan menyelamat kerajaan untuk syarikat yang sedang berdepan masalah kewangan selepas kehilangan dua pesawatnya, tahun ini.

Seorang jurucakap Malaysia Airlines mengesahkan penggantungan saham itu.

Di bawah satu pelan yang diumumkan pada Ogos, syarikat pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional yang mempunyai 70 peratus saham syarikat penerbangan itu, telah membeli kesemua baki saham dan menyahsenaraikan semua saham dan mengambil alih syarikat itu untuk mencari penyelesaian masalah yang dihadapi.

Malaysia Airlines sehingga kini telah mencatatkan kerugian walaupun sebelum berlakunya tragedi pesawat MH370 dan MH17, yang membawa jumlah kematian seramai 537 nyawa.

Perancangan Khazanah membabitkan penyaluran dana berjumlah USD1.73 bilion untuk menyelamatkan syarikat penerbangan itu, selain daripada mengurangkan 6,000 tenaga kerja (atau 30 peratus) dan mengurangkan rangkaian destinasi syarikat tersebut.

Awal bulan ini, MAS menamakan Ketua Pegawai Eksekutif Aer Lingus, Christoph Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya pada pertengahan tahun depan.

Mueller, berbangsa Jerman, pernah memperkenalkan opsyen menyelamatkan syarikat Aer Lingus yang bakal membabitkan pemotongan tenaga kerja yang besar.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, Malaysia Airlines sudah bermasalah, dan pakar menyalahkan kegagalan pentadbiran, keputusan bisnis kurang bijak dan pembabitan kerajaan.

Kehilangan pesawat MH370 yang membawa 153 warga China daripada 239 penumpangnya pada 8 Mac lalu masih belum terjawab.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di zon yang sedang bergolak di Timur Ukraine.

Pesawat malang itu membawa 193 rakyat Belanda dan 44 rakyat Malaysia. Semua rakyat negara ini yang menjadi mangsa, telah dikenal pasti.