KUALA LUMPUR:Saham Sime Darby Plantation Bhd (SDP) merosot 2.13 peratus dalam dagangan awal hari ini berikutan sekatan yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) ke atas produknya berhubung dakwaan penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluarannya.

Sehingga 9.56 pagi, Sime Darby Plantation susut 11 sen kepada RM5.06, dengan 70,400 saham diniagakan.

CBP AS telah mengeluarkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas minyak sawit dan produk yang mengandungi minyak sawit dihasilkan oleh SDP dan anak-anak syarikatnya, usaha sama dan entiti gabungannya, membolehkannya untuk menahan penghantaran berdasarkan disyaki terdapat penglibatan buruh paksa.

BACA: CBP Amerika Syarikat kenakan larangan produk sawit Sime Darby

Dalam kenyataan semalam, CBP berkata WRO dikeluarkan terhadap SDP berdasarkan maklumat bahawa secara munasabah menunjukkan kehadiran kesemua 11 petunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa dalam proses pengeluaran SDP.

Pada September, CBP telah mengeluarkan WRO berasingan terhadap satu lagi pengeluar minyak sawit Malaysia, FGV Holdings Bhd.

Niaga AWANI: Sekatan Sime Darby Plantation oleh AS

-- BERNAMA