KUALA LUMPUR: Samaiden Group Bhd memperoleh kontrak bernilai RM98.15 juta bagi melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk membangunkan sistem solar fotovoltaik atas bumbung dengan kapasiti 39MWp di enam tapak di Johor.

Ia menerima surat anugerah kontrak tersebut menerusi anak syarikat milik penuhnya, Samaiden Sdn Bhd daripada Ramatex Textiles Industrial Sdn Bhd, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia pada Khamis.

Katanya, tapak tersebut terletak di Lot 2946-2947 Jalan Kluang, Batu Pahat; Plo 230 Jalan Kluang, Sri Gading; Plo 236 Jalan Kluang Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat; Plo 236 Jalan Kluang, Batu Pahat; Plo 236 Jalan Kluang Kawasan Perindustrian Sri Gading dan Lot 2587 Jalan Kluang, Batu Pahat.

"Kerja-kerja ini sepatutnya bermula selepas pelaksanaan surat anugerah dan siap dalam tempoh 8 bulan selepas pemilikan setiap tapak, secara tentatif menjelang suku ketiga 2022," katanya.

Ramatex ialah pengeluar dan pengedar pelbagai jenis pakaian untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Projek tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan sepanjang tempoh ia dilaksanakan.


*Berita asal di DagangNews.com