KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Bhd memberi jaminan kepada pelabur bahawa asas pasaran saham Malaysia kekal kukuh meskipun berlaku ketidaktentuan yang meningkat dalam saham tertentu baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, SC dan Bursa Malaysia berkata tiada perkara yang perlu dibimbangkan berikutan penurunan ketara dalam harga saham baru-baru ini terhad kepada beberapa saham bermodal kecil dan ia tidak berlaku secara meluas.

"Saham yang terjejas merangkumi sekitar 0.17 peratus daripada jumlah permodalan pasaran dan 8.30 peratus daripada jumlah nilai dagangan bagi tahun ini," kata kenyataan itu.

Kedua-dua agensi itu juga menasihatkan para pelabur untuk membuat keputusan pelaburan termaklum berdasarkan asas dan terus merujuk kepada pengumuman yang dibuat oleh syarikat tersenarai di www.bursamalaysia.com.

Pelabur juga perlu peka terhadap jawapan syarikat kepada pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia, kata agensi itu.

SC dan Bursa Malaysia berkata mereka telah menjalankan pengawasan proaktif terhadap urus niaga dan aktiviti korporat, serta pemantauan masa nyata bagi semua aktiviti dagangan untuk memastikan pasaran yang cekap, adil dan teratur.

Sekiranya penyelewengan dikesan, SC dan Bursa Malaysia berkata mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kawal selia yang diperlukan bagi memelihara integriti pasaran.

Bursa Malaysia menyaksikan dagangan tidak menentu sejak Rabu, dengan beberapa kaunter mengalami peningkatan maksimum dan penurunan minimum.

-- BERNAMA