BISNES
Sektor kewangan perlu bantu PKS ceburi industri pertumbuhan strategik - Gabenor BNM

Abdul Rasheed menekankan bahawa CGC dan institusi kewangan perlu meningkatkan usaha untuk membuka peluang kepada PKS dalam industri berintensifkan modal dan berpotensi tinggi. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sektor kewangan perlu memainkan peranan transformatif bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menceburi sektor pertumbuhan strategik dengan peranan yang signifikan ketika Malaysia merangka dan menetapkan hala tuju masa depan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, sektor ini meliputi industri berpotensi besar seperti semikonduktor, aeroangkasa, tenaga boleh baharu, pusat data dan teknologi pemerangkapan karbon.
Menurutnya, penjajaran sedemikian penting memandangkan negara memajukan agenda transformasi nasional melalui kerangka dasar utama termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
"Sektor kewangan, termasuk Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) perlu berkembang seiring untuk menyokong pembaharuan ini."Dalam konteks ini, saya ingin memberikan perhatian kepada tiga aspek, dengan CGC bersama-sama sektor kewangan yang lebih luas di Malaysia, boleh menjadi sebahagian daripada pelan hala tuju pembangunan ini," katanya dalam ucap tama pada Anugerah CGC Edisi ke-30 2024, di sini, malam tadi.
Beliau menekankan bahawa CGC dan institusi kewangan perlu meningkatkan usaha untuk membuka peluang kepada PKS dalam industri berintensifkan modal dan berpotensi tinggi.
"Industri ini berintensifkan modal dan dipacu teknologi serta sering mewujudkan cabaran yang ketara bagi penyertaan perniagaan berskala lebih kecil.
"Pelbagai mekanisme boleh memainkan peranan sebagai pemangkin dalam menggerakkan modal swasta, menguruskan risiko yang disebabkan inovasi dan menyediakan laluan masuk kepada PKS dalam sektor berpotensi besar ini," katanya.
Menurutnya, program berarah yang dirancang dengan teliti, digabungkan dengan kepakaran teknikal, boleh membantu merapatkan jurang maklumat -- membolehkan PKS untuk berubah dan memberikan keyakinan yang lebih tinggi kepada institusi kewangan untuk memberikan sokongan.
Beliau berkata, fokus utama yang kedua adalah memajukan pembangunan PKS berpacukan data, dengan menekankan transformasi dalaman CGC ke arah pendekatan analitis dan berpusatkan data untuk membuat keputusan.
"Sehubungan itu, pertama, kita perlu meluaskan akses pembiayaan bukan sahaja kepada perniagaan yang baru berkembang malah kepada syarikat yang sedang berkembang dan mempunyai potensi untuk berkembang lebih luas.
"Kedua, kita perlu melabur dalam saluran pembiayaan mampan, termasuk penyelesaian kewangan hijau dan Islam serta memperdalam kerjasama dalam ekosistem yang menggabungkan kewangan tradisional dengan teknologi kewangan, data dan alat sosioekonomi," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami