ALOR GAJAH: Bukan pembangunan berskala besar yang menjadi tuntutan utama, sebaliknya pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek mengharapkan wakil rakyat yang sentiasa mendekati dan menyantuni masyarakat, selain membawa perubahan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.
Mereka berpandangan kemudahan asas di kawasan itu seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik sudah berada pada tahap memuaskan.
Justeru, tumpuan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini perlu diberikan kepada usaha memperkukuh hubungan pemimpin dengan rakyat serta mencetuskan idea baharu bagi meningkatkan ekonomi komuniti setempat.
Sidang Padang Sebang, Aziz Ali, 63, berkata, wakil rakyat perlu mengubah pendekatan dengan lebih kerap turun padang secara santai, bukannya hanya menghadiri program rasmi yang diatur pihak tertentu.
Katanya, kemudahan seperti balai raya di setiap kampung boleh dimanfaatkan sebagai tempat pertemuan bagi memudahkan penduduk berjumpa wakil rakyat dan menyampaikan masalah secara langsung.
"DUN Gadek ini, seperti yang saya katakan tadi, tidak menuntut pembangunan berskala besar. Jika wakil rakyat mahu membantu rakyat, caranya mudah sahaja. Terdapat banyak balai raya di setiap kampung yang boleh dimanfaatkan.
"Wakil rakyat boleh turun ke balai raya dan meluangkan masa sehari untuk mengadakan sesi perkhidmatan atau klinik bagi memudahkan urusan penduduk. Itulah yang dinamakan tadbir urus yang memudahkan rakyat.
"Bukan lagi rakyat perlu datang menghadap wakil rakyat seperti zaman dahulu. Sebaliknya, pada masa sekarang, wakil rakyat perlu bersama-sama dengan rakyat. Itulah prinsip yang saya pegang," katanya kepada Astro AWANI, di sini baru-baru ini.
Pesara guru itu juga mahu wakil rakyat lebih proaktif merancang pembaharuan ekonomi setempat.
Ia antaranya memanfaatkan kawasan pertanian untuk aktiviti penanaman dan penternakan serta memperkasakan kawasan sungai sebagai lokasi rekreasi yang turut membuka ruang perniagaan kepada penduduk.
"Jangan rakyat yang perlu memberikan idea kepada wakil rakyat. Dia sendiri kena fikir apa yang boleh dibuat untuk membantu anak muda dan meningkatkan ekonomi penduduk.
"Kita mahu ada perubahan, bukan sekadar meneruskan apa yang sudah ada. Wakil rakyat perlu cetuskan idea dan cari jalan untuk melaksanakannya," ujarnya.
Aziz turut mencadangkan peruntukan khas tahunan bagi surau yang aktif supaya urusan penyelenggaraan dan aktiviti keagamaan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah.
Dalam pada itu, Sidang Tanjung Rimau, Muhamad Mudar Rosman, 60, berkata, penduduk mengharapkan wakil rakyat yang dipilih mampu meninggalkan hasil kerja dan pembaharuan yang dapat dirasai masyarakat sepanjang tempoh perkhidmatan.
Beliau berkata, hubungan antara wakil rakyat dengan penduduk tidak seharusnya terputus selepas seseorang calon memperoleh mandat, sebaliknya perlu diperkukuh menerusi kunjungan berkala ke kampung-kampung.
“Sebagai wakil rakyat, cetuskanlah idea dan laksanakan sesuatu yang boleh meninggalkan kesan kepada masyarakat. Sepanjang tempoh lima tahun atau satu penggal berkhidmat, apa perancangan yang mahu dilaksanakan?
"Sekiranya tidak lagi dipilih sebagai wakil rakyat selepas itu, sekurang-kurangnya penduduk kampung dapat melihat dan mengingati sumbangan serta perancangan yang telah dilaksanakan.
"Namun, perkara itu masih belum kelihatan sehingga kini. Apabila hampir pilihan raya, barulah wakil rakyat datang mendekati penduduk dan menjanjikan pelbagai perkara. Tetapi selepas menang, ke mana hilangnya pendekatan mesra rakyat itu?," soalnya.
Seorang lagi pengundi muda DUN Gadek, Syafiq Alias, 31, berpandangan wakil rakyat yang dipilih kelak dapat merangka pelan khusus bagi memperluas peluang perniagaan kepada golongan muda.
Ia sekali gus membantu mereka menjana pendapatan tanpa perlu bergantung kepada peluang pekerjaan di luar kawasan itu.
Jelasnya, meskipun kawasan perindustrian HICOM Pegoh Industrial Park menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, ruang untuk anak muda menceburi bidang perniagaan juga perlu dipertingkatkan.
“Kita mengharapkan lebih banyak peluang perniagaan diwujudkan untuk golongan muda. Pada masa ini, ramai anak muda yang menceburi perniagaan kecil-kecilan seperti menjual pisang goreng dan burger.
"Justeru, kita berharap wakil rakyat yang dipilih kelak dapat membantu peniaga muda menyediakan kemudahan asas seperti khemah dan gerai perniagaan bagi mengurangkan beban kos permulaan mereka untuk berniaga," kongsi Syafiq.
Dalam masa sama, mereka turut berharap wakil rakyat yang dipilih kelak dapat meneroka potensi pembangunan produk pelancongan setempat, selain mengangkat keunikan kampung-kampung tradisi di DUN Gadek.
Dalam PRN Melaka kali ini, DUN Gadek menyaksikan saingan empat penjuru melibatkan S Nadarajah Sellappa (Barisan Nasional); Jegan K (Pakatan Harapan); Laveen Bala (Parti Bersama Malaysia) dan Laila Norinda Maon (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai Hari Pengundian.